KUALA LUMPUR 18 Mei - Permohonan pinjaman yang kukuh dan data pinjaman diluluskan pada Mac 2023 adalah positif kepada sektor hartanah kerana ia menandakan pemulihan minat belian walaupun berlaku beberapa kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2022.
MIDF Research berkata, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah meningkat sebanyak 37.3% dari bulan ke bulan pada Mac 2023 berikutan peningkatan sebanyak 27.5% dari tahun ke tahun pada Februari 2023.
Katanya, pinjaman yang diluluskan pada Mac 2023 meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih dua tahun, didorong oleh permohonan pinjaman yang lebih tinggi dan peratusan yang lebih tinggi daripada jumlah pinjaman yang diluluskan berbanding jumlah pinjaman yang dimohon sebanyak 43.2% pada Mac 2023 (Februari 2023: 38%).
Firma itu berkata, pada asas tahunan, pinjaman yang diluluskan terus berkembang pada Mac 2023 sebanyak 18.3% selepas peningkatan sebanyak 32.7% pada Februari 2023.
Secara kumulatif, pinjaman yang diluluskan pada suku pertama 2023 adalah lebih tinggi sebanyak 10.9% yang menunjukkan prospek jualan baharu yang lebih baik untuk pemaju hartanah.
"Bagaimanapun, permohonan pinjaman yang kukuh itu mungkin menjadi lebih perlahan pada bulan-bulan akan datang akibat kenaikan OPR pada Mei 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor hartanah.
Firma itu memihak kepada pemaju yang memberi tumpuan kepada projek pembinaan dalam segmen pasaran pertengahan dan mampu milik kerana permintaan untuk rumah mampu milik terutamanya berharga di bawah RM500,000 kekal berdaya tahan, disokong oleh pembeli rumah kali pertama.
"Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah Mah Sing Group (BELI, TP: 75 sen) dan Glomac Berhad (BELI, TP: 43 sen) disebabkan pendedahan mereka kepada segmen pasaran pertengahan dan rumah mampu milik," katanya. - DagangNews.com