Pintu LRT terbuka ketika bergerak: Rapid KL buat permohonan maaf | DagangNews Skip to main content

Pintu LRT terbuka ketika bergerak: Rapid KL buat permohonan maaf

 Pintu LRT terbuka ketika bergerak

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Rapid KL membuat permohonan maaf terhadap insiden pintu sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang tidak tertutup ketika bergerak semalam.

 

Insiden berkenaan yang berlaku sekitar pukul 3.01 petang itu menyaksikan pintu tren LRT Kelana Jaya terbuka selepas bergerak dari Stesen LRT Ara Damansara menuju ke Stesen LRT Lembah Subang.

 

Rapid KL berkata, kejadian tersebut dikenal pasti serta-merta oleh Pusat Kawalan Operasi dan memberhentikan operasi tren berkenaan kurang daripada dua minit setelah tiba di Stesen LRT Lembah Subang yang terletak kira-kira 900 meter dari Stesen LRT Ara Damansara.

 

Tren berkenaan kemudiannya dihantar ke depot bagi tujuan pemeriksaan segera dan siasatan lanjut.

 

"Semasa kejadian, terdapat tujuh penumpang di dalam tren dan semua dipindahkan dengan selamat.

 

"Rapid KL memandang serius kejadian ini dan siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti puncanya.

 

"Pelan mitigasi yang sesuai akan dilakukan bagi mengelakkan kejadian sama di lain masa," jelas Rapid KL. - DagangNews.com