PKP 2.0 imbangi ekonomi, kesihatan rakyat | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 imbangi ekonomi, kesihatan rakyat

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan memberikan kelonggaran tertentu terutama bagi sektor ekonomi adalah sesuatu yang sukar, namun perlu dibuat bagi mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan juga ekonomi. 

 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP kali ini melihat kepada kepentingan ekonomi tidak kira melalui syarikat gergasi mahupun peniaga kecil-kecilan, dan pada masa sama perlu menumpukan kepada kesihatan rakyat.

 

“Kita tidak mahu rakyat mati akibat COVID-19, dan kita juga tidak mahu mereka mati kerana tidak makan.

 

"Ada pihak mempertikaikan pelaksanaan PKP kali kedua yang dikatakan lebih longgar, tapi daripada konteks lebih luas, negara boleh bangkrap kalau PKP dilaksanakan bertahun-tahun.

 

"Waktu PKP dulu, negara rugi RM2.4 bilion setiap hari. Kerajaan juga perlu fokus kepada rakyat yang bergantung kepada pendapatan seharian bagi menampung hidup. Sebab itu ketika PKP 2.0 ini, kita benarkan sebahagian besar sektor ekonomi untuk beroperasi. Kita fikir kebajikan rakyat dan keselamatan mereka juga sama penting," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Tambah beliau, biarpun pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat, namun kerajaan tidak boleh memberi bantuan selama-lamanya dengan mengambil kira kesan jangka panjang.

 

Katanya, dengan membenarkan sesetengah sektor untuk beroperasi, peniaga kecil-kecilan sebagai contohnya yang mempunyai gerai tepi jalan juga boleh berniaga bagi menampung keperluan seharian.

 

"Pembukaan sektor perkilangan pula bukan bagi menjaga hati ‘tauke besar’ tetapi kerana rantaian ekonomi yang melibatkan operasi syarikat dan nasib pekerja harus diutamakan.

 

“Netizen kata kita jaga tauke besar, tapi ia adalah berkaitan pekerja mereka. Kalau tauke besar rugi akibat kilangnya tidak beroperasi, akhirnya mangsa adalah pekerja yang bergantung kepada pendapatan itu," ujarnya lagi. 

 

Dalam temu bual sama, beliau menjelaskan bahawa cara terbaik untuk putuskan rantaian COVID-19 ialah dengan tidak membenarkan sebarang pergerakan, namun masih berlaku pada ketika ini.

 

"Sektor penting diberi kebenaran untuk beroperasi atas dasar kepentingan ekonomi. Walaupun PKP ini tidak ‘lockdown’ sepenuhnya, tapi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah percaya (kes) akan berkurangan tapi mengambil masa sedikit," katanya. - DagangNews.com