PKPD: Bekalan sayur dari Cameron Highlands mungkin terjejas | DagangNews Skip to main content

PKPD: Bekalan sayur dari Cameron Highlands mungkin terjejas

Sayur Cameron Highlands

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Bekalan sayur bagi pasaran dan rangkaian pasar tertentu melibatkan sayur dari Cameron Highlands mungkin terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

 

Tidak menolak kemungkinan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan mengambil langkah perlu bagi memastikan pelaksanaan PKPD hanya memberi impak minima.

 

"Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Cameron Highlands yang melibatkan kawasan pertanian seluas 1,500 ekar seperti yang diumumkan pada 12 Jun yang lalu, pihak KPDNHEP tidak menolak kemungkinan berlaku gangguan bekalan untuk pasaran dan rangkaian pasar tertentu yang melibatkan pembekalan sayur dari Cameron Highlands.

 

"Justeru, KPDNHEP telah mengarahkan semua bahagian di bawah Kementerian untuk mengambil langkah perlu bagi memastikan pelaksanaan PKPD itu hanya memberi impak minima serta sementara dan dijangka tidak menggangu bekalan dan sekaligus harga barang keperluan terutama sayur-sayuran dari kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kenyataan itu dibuat berdasarkan laporan media tempatan berkaitan kenaikan harga sayur-sayuran hingga 40%  akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan itu.

 

Menjelaskan perkara berkenaan juga, KPDNHEP melalui Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) telah menjalankan analisa dan mendapati harga purata sayuran menunjukkan penurunan pada 13 Jun berbanding paras harga yang dilaporkan media berkenaan pada 12 Jun lepas.

 

Penurunan harga sayuran tersebut meliputi tomato (-2.16%), capsicum kuning (-0.13%) capsicum merah (-1.47%), kubis bulat tempatan (-0.86%) dan buncis (-0.67%).

 

Bagaimanapun, kenaikan harga sayuran sedikit  dicatatkan bagi timun 1.01% dan capsicum hijau 0.36%.

 

Dalam pada itu, sayuran seperti timun Jepun dan daun salad tidak dipantau oleh Kementerian kerana dikategorikan sebagai barangan bukan keperluan asas pengguna.

 

"KPDNHEP melalui penguat kuasa di seluruh negara khususnya di Negeri Pahang dan Perak akan memantau secara berterusan kedudukan bekalan dan harga bagi jenis-jenis sayur tertentu yang biasanya dibekalkan oleh pekebun-pekebun dari Cameron Highlands itu.

 

"KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada Kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak ke paras yang tidak munasabah," jelas beliau lagi. - DagangNews.com