Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Julai - Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk tidak melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor.
Ini selepas sidang tersebut meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi semasa, menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sebagai rekod, kerajaan telah melaksanakan PKPD di 34 mukim di Selangor yang dijadualkan tamat pada hari ini, 16 Julai 2021.
Bagaimanapun, terdapat empat lokaliti di Selangor bakal dikenakan PKPD bermula 18 Julai hingga 31 Julai 2021.
Ismail Sabri berkata, ini termasuk Damai Apartment, PJS 8, Mukim Damansara, Daerah Petaling; Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang, Daerah Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Mukim Klang, Daerah Klang; dan Taman Samudera, Mukim Batu, Daerah Gombak.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, kerajaan juga membuat keputusan untuk melanjutkan penguatkuasaan PKPD di dua lokaliti di Sabah iaitu Kampung Siasai Dundau, Kota Belud; dan Kampung Naruntung, Pitas sehingga 31 Julai 2021.
Dari segi pemeriksaan pematuhan SOP industri, semalam sahaja sebanyak 180 kilang dan premis perniagaan telah dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
Pada hari ini, 65 premis turut dikenakan tindakan, kata Ismail Sabri lanjut.
“Kerajaan tidak akan berkompromi jika terdapat pelanggaran arahan serta SOP dalam apa juga situasi kerana apa yang menjadi keutamaan kini adalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Jika ada mana-mana premis masih berdegil dan melanggar arahan pihak berkuasa, tindakan keras termasuk arahan tutup serta-merta akan dikenakan,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com