PKS perlu sedar langkah kritikal | DagangNews Skip to main content

PKS perlu sedar langkah kritikal

PKS

KUALA LUMPUR 20 Julai - Kesemua Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu meneruskan dan memberi fokus kepada transformasi digital sebagai langkah kritikal bagi memantapkan perniagaan dan operasi.

Pengarah Urusan Kumpulan Genaxis, Nuraslina Zainal Abidin berkata, langkah tersebut tidak harus diketepikan PKS meskipun aktiviti perniagaan berlangsung seperti keadaan biasa.

“PKS perlu teruskan usaha transformasi digital mereka selepas PKP. Dengan pembukaan semula aktiviti perniagaan seperti sedia kala, PKS mungkin kurang berminat untuk melaksanakan transformasi digital mereka.

“Mereka perlu melihat pendigitalan ini sebagai satu langkah kritikal untuk memantapkan perniagaan dan ketahanan operasi,” katanya dalam satu kenyataan.

PKS

Terdahulu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah memperuntukkan dana menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang akan memberi nafas baharu kepada lebih banyak PKS serta usahawan mikro tempatan untuk berkembang dalam persekitaran ekonomi digital.

Kerajaan bersama sektor swasta bertindak membiayai usaha berkenaan menerusi geran padanan sebanyak RM140 juta, di mana peruntukan itu akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan.

Peruntukan khas untuk mendigitalkan PKS dan usahawan mikro sangat penting kerana sektor e-dagang bakal menyaksikan sumbangan pertumbuhan sebanyak 20% terhadap ekonomi digital untuk tahun 2020.

Tambah Nuraslina, tindakan PKS yang tidak ingin meneruskan pembaharuan digital berkemungkinan disebabkan ketidakfahaman yang sepenuhnya terhadap transformasi itu.

PKS

“Ada kemungkinan PKS tidak faham sepenuhnya kepentingan transformasi digital dan langkah kecil pertama yang mereka perlu ambil.

“PKS perlu terlebih dahulu memahami keutamaan perniagaan yang memerlukan pendigitalan, sama ada membantu mengurangkan kos operasi, mendapatkan pelanggan baharu, melancarkan produk dan perkhidmatan baharu atau mengoptimumkan sumber,” katanya lagi.

Tegasnya lagi, syarikat PKS perlu menumpukan peningkatan pengalaman pelanggan di platform digital untuk mengambil kesempatan pembelian di internet ekoran daripada norma baharu. - DagangNews.com