PLUS aktifkan laluan kontra dari Km183.9 ke Km179.7 arah Utara bagi kerja pembersihan kemalangan | DagangNews Skip to main content

PLUS aktifkan laluan kontra dari Km183.9 ke Km179.7 arah Utara bagi kerja pembersihan kemalangan

PETALING JAYA 3 Okt - PLUS Malaysia Bhd (PLUS) ingin memaklumkan pelaksanaan kerja pengalihan kecemasan sebuah tanker minyak yang terlibat dalam kemalangan di KM181.9 di Lebuhraya Utara-Selatan di laluan Ayer Keroh-Jasin dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka.

 

Disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu, JAS telah menasihati untuk semua kerja pembersihan dilakukan dengan kadar segera.

 

Sehubungan itu, PLUS mengaktifkan laluan kontra di antara KM183.9-KM179.9 di laluan tersebut pada 2 Oktober mulai 9 malam hingga 3 Oktober jam 7 pagi.

 

Semasa laluan kontra diaktifkan, laluan ke Hentian Sebelah Bemban (Arah Selatan) dan Persimpangan Bertingkat Jasin bagi trafik arah selatan akan ditutup sementara.

 

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abd Aziz berkata, keselamatan adalah keutamaan PLUS.

 

''Terima kasih atas kesabaran dan kerjasama semua pelanggan lebuh raya sepanjang tempoh kerja ini dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Para pengguna lebuh raya dinasihati untuk mematuhi tanda jalan sementara yang diletakkan serta mematuhi had laju dan arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS di lokasi.

 

 

plus

 

Untuk maklumat trafik terkini atau bantuan di lebuh raya, sila hubungi PLUSLine di 1800 88 0000, twitter @plustrafik, muat turun Aplikasi PLUS atau interaksi secara digital menerusi Chatbot PUTRI. - DagangNews.com