KUALA LUMPUR 15 Nov - Bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa ketika pulang ke kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan dan bersedia dari pelbagai sudut operasi lebuh raya bagi menghadapi peningkatan trafik di antara 1.8 juta hingga 1.9 juta sehari di rangkaian lebuh raya kendaliannya.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, peningkatan trafik tersebut dijangka bermula pada 17 November sehingga 21 November yang akan datang.
Menurutnya, PLUS mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sempena PRU ke-15 di Lebuhraya Utara-Selatan bagi tempoh 16 November hingga 21 November 2022.
"Bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang bermula 16 November hingga 18 November, kami menasihatkan pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.
"Manakala, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya di antara jam 1:00 petang hingga 4:00 petang," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang dan ibu kota bermula 20 November hingga 21 November pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi. Jadual TTA ini boleh juga boleh dirujuk di laman web www.plus.com.my serta saluran- saluran media sosial PLUS. (Sila rujuk lampiran jadual TTA)
Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bergerak ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih awal untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.
Pengguna juga perlu menjangka akan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa.
"Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut," tambah beliau.
Persediaan ini merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.
Sementara itu, PLUS juga menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 November sehingga 21 November 2022 kecuali kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.
"Selain itu, PLUS akan menugaskan kira-kira 200 pasukan PLUSRonda untuk menjalankan rondaan 24-jam setiap hari di lebuh raya serta 1,500 kakitangan di plaza-plaza tol untuk melancarkan transaksi di plaza tol. Seramai 30 petugas di Pusat Pemantauan Trafik juga bersiap sedia untuk memantau pergerakan trafik serta membantu mengkoordinasi bantuan kepada pengguna lebuh raya melalui talian PLUSLine 1800-88-0000, telefon kecemasan dan Chatbot PUTRI," tambah beliau.
PLUS juga menyediakan kren dan kembalik di lokasi-lokasi strategik lebuh raya untuk mempercepatkan proses pengalihan, penundaan kenderaan rosak atau kenderaan terlibat dengan kemalangan untuk melancarkan aliran trafik.
PLUS juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas dan surau serta stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah terpilih beroperasi 24-jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung.
Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan oleh rakan niaga kami di R&R sebelum menyambung semula perjalanan.
Dengan memuat turun Aplikasi PLUS, pengguna lebuh raya boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya.
Sebagai alternatif, pengguna boleh mengikuti laporan trafik menerusi Twitter@PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, talian PLUSLine di 1800-88-0000, serta melalui stesen-stesen radio tempatan. Pengguna juga disaran menggunakan Aplikasi Waze atau Google Map untuk merancang perjalanan mereka.
"Para pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu berikutan cuaca hujan yang melanda negara di beberapa lokasi. PLUS mengucapkan semua pengguna lebuh raya selamat sampai ke destinasi untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara," kata Zakaria. - DagangNews.com