PM pelawa orang ramai kunjungi Karnival USHAniaga Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

PM pelawa orang ramai kunjungi Karnival USHAniaga Keluarga Malaysia

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau jualan produk di Karnival USHAniaga Keluarga Malaysia anjuran UDA Holdings Berhad pada 26 Ogos 2022.

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbangga melihat pelbagai produk ciptaan anak tempatan dipamerkan di Karnival USHAniaga Keluarga Malaysia anjuran UDA Holdings Berhad (UDA).

 

Dalam hantaran di laman Facebook, beliau berkata, "Terima kasih UDA dengan kerjasama KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) kerana menyediakan peluang untuk usahawan asnaf Keluarga Malaysia memasarkan produk mereka terutama ketika suasana ekonomi negara dalam fasa pemulihan.

 

Perdana Menteri berkata, UDA turut memperuntuk sumbangan zakat sebanyak RM100,000 kepada 20 usahawan asnaf.

 

Pada majlis itu, Ismail Sabri berkata empat individu yang terdiri daripada ibu tunggal, bekas tentera dan asnaf miskin menerima sumbangan zakat tersebut.

 

“Saya menjemput seluruh  Keluarga Malaysia yang berada di sekitar Lembah Klang untuk  memeriahkan Karnival ini,” katanya. 

 

Perdana Menteri merasmikan karnival berkenaan dan turut dihadiri Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim.

 

Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia yang berlangsung dari Ogos hingga Oktober ini, dianjurkan oleh UDA Holdings Berhad (UDA) hari ini, bertujuan mempergiat aktiviti keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Karnival itu berlangsung secara berperingkat melibatkan lima lokasi iaitu di Odeon Walk, dekat sini pada 26-28 Ogos; Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang (16-18 Sept), Serambi Teruntum Kuantan, Pahang (23-25 Sept); Angsana Ipoh Mall, Perak (30 Sept-2 Okt) dan Angsana Johor Bahru Mall, Johor (21-23 Okt).

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata karnival itu diperkenalkan sebagai pendekatan baharu daripada UDA bagi mengorak langkah membantu usahawan bumiputera, selain peranan UDA yang fokus dalam pembangunan hartanah.

 

“Sebelum ini pun memang UDA sudah mula bantu usahawan tetapi apabila Perdana Menteri meluluskan RM100 juta (peruntukan khas) kepada UDA untuk membantu usahawan maka program ini dianjurkan untuk membantu mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian karnival itu di sini hari ini.

 

Noh berkata karnival itu dianjurkan bagi membantu golongan usahawan memandangkan kebanyakan mereka cuba bangkit semula setelah terkesan akibat pandemik COVID-19 dalam tempoh lebih dua tahun lepas.

 

“Disebabkan itu, kami mahu menggalakkan (penyertaan) usahawan (menerusi karnival ini) khususnya peniaga mikro, kecil dan sederhana yang merupakan antara penyumbang tertinggi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara ini,” katanya.

 

Sementara itu dalam kenyataan, Norliza berkata UDA menyasarkan penyertaan seramai 100 usahawan bagi setiap lokasi anjuran karnival itu dan berharap inisiatif pihaknya dapat merancakkan penglibatan orang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan seperti pembabitan golongan wanita khususnya suri rumah serta generasi muda seperti siswazah.

 

Katanya sasaran penglibatan golongan wanita, belia serta graduan dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang seterusnya membuka peluang pekerjaan dan merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia.

 

“UDA sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan Keluarga Usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutama dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih,” katanya.

 

Menjelas mengenai akronim USHA, beliau berkata ia bermaksud ‘UDA Sempurnakan Hari Anda’ yang diterjemahkan sebagai jiwa dan falsafah karnival itu yang menjadi aspirasi UDA dalam menyediakan peluang dan platform memperkasa serta memajukan usahawan daripada pelbagai latar belakang.

 

Karnival yang dianjurkan dengan kolaborasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi termasuk beberapa agensi kementerian berkenaan menyediakan pelbagai aktiviti antaranya pameran dan gerai jualan daripada setiap segmen perniagaan UDA yang merangkumi hartanah, hotel, premis perniagaan dan pengurusan fasiliti.

 

UDA turut menganjurkan Kempen Hartanah UDA Ria 2022 serentak di karnival itu, sebagai pendekatan untuk mendekati komuniti setempat serta membantu pembeli memilih hartanah idaman menerusi enam karikatur komik yang menggambarkan karakter ‘Generasi UDA’. - DagangNews.com