PUTRAJAYA 15 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang Tun S. Samy Vellu yang meninggal dunia pagi ini.
"Pagi ini saya menerima berita sedih tentang pemergian Tun S. Samy Vellu, mantan Presiden MIC dan juga bekas menteri Kabinet yang paling lama berkhidmat bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979-1989 dan 1995-2008,'' kata beliau.
Mendiang juga menjadi Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989-1995.
"Mendiang banyak memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dalam negara," ujar Perdana Menteri.
Menurut Ismal Sabri, Tun Samy Vellu merupakan pejuang dan bapa penyatuan masyarakat kaum India serta menjadi mentor kepada pemimpin MIC sepanjang dan selepas kepemimpinannya.
"Banyak sumbangan yang ditaburkannya kepada negara dan masyarakat India seperti penubuhan MIED, Universiti Aimst dan Kolej Tafe yang membantu meningkatkan kehidupan masyarakat itu di negara ini.
"Jasa beliau akan terus dikenang," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com