Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Jun - Khazanah Nasional Berhad dijangka terus berdaya tahan dan mampu mengharungi tempoh mencabar ketika ini apabila dunia masih bergelut dengan pandemik COVID-19.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Khazanah, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin dana pelaburan negara itu akan kekal memiliki keazaman untuk mencapai matlamatnya demi kepentingan negara.
Beliau juga percaya terhadap kemampuan Khazanah untuk memastikan kemampanan perniagaan dalam jangka panjang sambil meneruskan pengurusan risiko dengan sewajarnya dan mengekalkan tadbir urus yang baik.
Bagaimanapun, katanya, beberapa sektor utama Khazanah seperti penerbangan dan pelancongan masih sukar dijangkakan pemulihan sepenuhnya sebelum 2023.
"Namun, saya berasa gembira kerana Khazanah berjaya mendepani cabarannya dan berjaya mencatat prestasi keseluruhan yang stabil bagi tahun 2020, di sebalik keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu dan persekitaran operasi yang sukar.
"Kemampuan ini meyakinkan kita terhadap keupayaan Khazanah untuk mengharungi cabaran yang getir, melabur
untuk masa depan kita, dan memberikan nilai yang lestari atau mampan kepada semua rakyat Malaysia," katanya dalam Laporan Khazanah 2020 yang diterbitkan hari ini.
Beliau juga memberitahu bahawa Khazanah telah menyumbang sebanyak RM20 juta bagi menyokong usaha bantuan menghadapi pandemik COVID-19.
Secara keseluruhan, katanya, Rangkaian Tindakan Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat
Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), dan entiti sektor swasta lain telah menyumbang lebih RM70 juta dan dana berkenaan digunakan untuk menyokong pelbagai perubatan dan bantuan kemanusiaan.
"Pandemik yang sedang berlaku akan terus mempengaruhi kehidupan kita. Di sebalik terdapat tanda-tanda berlakunya pemulihan pada tahun 2021, kita perlu terus berwaspada.
"Keadaan ekonomi sama ada di peringkat global mahupun dalam negara, akan mengambil masa untuk kembali pulih sepenuhnya, sehinggalah vaksin diberikan secara meluas, bukan hanya kepada penduduk di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia," tambah beliau.
Perdana Menteri berkata, tahap pemulihan ekonomi Malaysia bergantung terutamanya pada kemampuan negara untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 dan keupayaannya mewujudkan imuniti kelompok.
Ketika ini, jelasnya, lebih 10 peratus daripada penduduk negara ini telahpun menerima sekurang-kurangnya
satu dos vaksin dan melalui pelaksanaan Pelan Imunisasi Kebangsaan yang dilakukan secara besar-besaran.
"Kita yakin sasaran vaksinasi yang ditetapkan dapat dicapai menjelang akhir tahun ini," tegasnya. - DagangNews.com