PN serah Surat Akuan Berkanun sokong Muhyiddin sebagai PM ke-10 kepada Agong | DagangNews Skip to main content

PN serah Surat Akuan Berkanun sokong Muhyiddin sebagai PM ke-10 kepada Agong

Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR 21 Nov - Perikatan Nasional (PN) telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun (SD) daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112.

 

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

 

Terdahulu, PN menerima sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah bagi membentuk kerajaan persekutuan baharu selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), Barisan Nasional (30), GPS (22), GRS (enam), Parti Warisan (tiga) dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.

 

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi Parlimen - DagangNews.com