PN Terengganu tampilkan calon bersih dari rasuah dan manifesto realisitik untuk semua lapisan masyarakat | DagangNews Skip to main content

PN Terengganu tampilkan calon bersih dari rasuah dan manifesto realisitik untuk semua lapisan masyarakat

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada program Town Hall Mahasiswa Terengganu 2022 yag berlangsung di Taman Tamadun Islam, Terengganu pada 16 november 2022.
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 17 Nov - Perikatan Nasional (PN) Terengganu berharap rakyat negeri itu akan mengundi lapan calonnya yang bersih dari rasuah serta berintegriti tinggi ke arah pembinaan negara yang sejahtera, stabil dan makmur.

 

Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tugas besar menanti semua pengundi berdaftar di bumi Darul Iman itu pada Sabtu ini untuk menentukan masa depan negara tercinta.

 

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PN yakin rakyat akan memilih gabungan parti politik itu kerana menawarkan manifesto yang realistik dan mudah dilaksanakan berbanding tawaran gabungan parti-parti yang lain.

 

"Tambahan pula, semua calon yang kita tampilkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini adalah individu yang terkenal dengan integriti tinggi dan bebas rasuah untuk berkhidmat kepada masyarakat di kawasan Parlimen masing-masing.

 

"Personaliti yang baik ini bukan sahaja penting untuk pengundi tempatan, malah mempunyai impak yang sangat besar untuk rakyat Malaysia amnya melalui perubahan dasar-dasar kerajaan yang lebih cakna kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan negara," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

 

Lapan calon PN di Terengganu ialah Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut), Shaharizukirnain Abdul Kadir (Setiu), Datuk Dr. Alias Razak (Kuala Nerus), Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Kuala Terengganu),  Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Wan Hassan Mohd. Ramli (Dungun) dan Che Alias Abd. Hamid (Kemaman).

 

 

PN

 

PN

 

 

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, setiap calon PN yang dipilih bertanding kali ini mempunyai latar belakang, kepakaran dan pendidikan berbeza untuk membawa kemajuan berpaksikan Islam di Terengganu secara menyeluruh. 

 

Menurutnya, calon PN di Kemaman iaitu Che Alias yang juga Pengerusi Pelabuhan Kemaman telah berjaya mengubah landskap pelabuhan itu menjadi pemangkin kepada sektor perdagangan dan perindustrian Terengganu, menjana ekonomi setempat serta menambah peluang pekerjaan buat rakyat. 

 

"Begitu juga dengan calon Dungun, Wan Hassan yang sudah lama berkecimpung dalam pentadbiran kerajaan iaitu dua penggal sebagai Ahli Parlimen Dungun, Ahli Dewan Undangan Negeri Sura serta pernah memikul amanah sebagai EXCO Kerajaan Negeri Terengganu pada 1999 sehingga 2004. 

 

"Beliau kuat bekerja kepada rakyat, tiada rasuah dan tidak pernah timbulkan kontroversi. Tiga perkara ini adalah antara ciri-ciri untuk kita memilih pemimpin. 

 

"Antara isu yang pernah beliau selesaikan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah limpahan air kumbahan di hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin yang akhirnya telah memberi keselesaan kepada mahasiswa dan warga setempat," katanya.

 

Calon tunggal Parti Pribumi Bersatu Malaysia iaitu Rosol di Hulu Terengganu pula adalah seorang bekas guru yang ramah  serta sentiasa terbuka menerima aduan rakyat. 

 

Ahmad Samsuri berkata peribadi Rosol yang sangat mesra membuatkan penduduk Hulu Terengganu menyukainya, tambahan pula pengalaman beliau sebagai Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada sesi lalu telah membuktikan bahawa beliau menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. 

 

"Di Marang, Presiden Pas iaitu Tuan Guru Abdul Hadi adalah insan yang saya pun dah anggap seperti bapa saya sendiri, sentiasa menjadi rujukan dalam mentadbir negeri dan hal-hal lain.

 

"Insan ini, kalau nak disenaraikan kerja buatnya mungkin tidak cukup kertas. 

 

"Terlalu banyak, sedari beliau masih muda lagi. Jiwa memimpin dan ingin melihat anak bangsa dan agama Islam dijaga, amatlah mendalam. 

 

"Satu sahaja selain saya ingin mengajak semua undi beliau, sama-sama kita doakan beliau sentiasa diberikan kesihatan yang baik untuk terus memimpin ummah," katanya yang optimis rakyat mahukan kepimpinan ulama' diteruskan di negara ini.

 

Tambahnya, calon lain ialah Che Mohamad Zulkifly (Besut) yang amat berpengalaman dalam bidang perundangan di mana beliau pernah bertugas sebagai hakim mahkamah, peguam bela dan peguam cara sebelum ini.  

 

"Dengan kepakaran dalam bidang perundangan ini, beliau akan berusaha membawa suara rakyat untuk meminda Seksyen 41-45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi melaksana hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk.

 

"Oleh itu, saya berharap kita semua akan meneliti semua manifesto dan personaliti calon dalam membuat keputusan pada Sabtu ini. Satu undi untuk kebaikan hasilnya adalah kepada kita juga.

 

"Kita lah yang sama-sama akan mendirikan negara tercinta ini menjadi sebuah negara yang bersih dan stabil. Salah satu cara menilai seseorang untuk dijadikan pemimpin adalah dengan melihat dan menilai sendiri, tidak hanya dengar 'buah mulut' orang. 

 

"Dengar pula, biarlah daripada pelbagai pihak supaya keputusan atau pilihan yang dibuat telah diteliti sehabis baik. Pilihlah yang terbaik, yang paling kurang mudaratnya kepada agama, bangsa dan negara," katanya. - DagangNews.com