KUALA LUMPUR 17 Nov. - Permodalan Nasional Berhad (PNB) mencapai persetujuan dengan Batu Kawan Berhad (BKB) untuk melupuskan keseluruhan pegangan sahamnya sebanyak 56.3% dalam Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) yang dipegang oleh PNB dan dana unit amanahnya berjumlah RM292.8 juta.
Harga ini mewakili premium sebanyak 69% daripada harga saham purata berwajaran 3 bulan. Penjualan tersebut akan mencetuskan tawaran umum wajib oleh BKB untuk baki saham dalam CCM.
"Pelupusan ini adalah sebahagian dari strategi kepelbagaian aset PNB untuk mengimbangi portfolio dan konsisten dengan usaha kami untuk terus meningkatkan nilai agar dapat memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit kami.
"Proses penjualan dan penentuan harga yang tepat telah dilakukan secara menyeluruh oleh penasihat kami, Maybank Investment Bank Berhad dan kami berpuas hati dengan harga jualan akhir yang memberikan premium yang tinggi berbanding harga
pasaran,” jelas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
Sepertimana setiap keputusan pelaburan dan pelupusan PNB yang lain, penjualan ini telah dilakukan dengan teliti dan meliputi proses tadbir urus pelbagai peringkat bagi memastikan ianya memenuhi dasar dan objektif pelaburan PNB yang ketat.
CCM adalah pengeluar produk salutan klor-alkali dan polimer yang terkenal di Malaysia, yang merupakan antara tiga pengeluar utama lapisan polimer untuk industri sarung tangan dan satu daripada pengeluar terbesar klorin untuk rawatan bekalan air.
Dalam tempoh CCM merupakan syarikat strategik PNB, ia telah melalui pelbagai inisiatif termasuk pemisahan CCM Duopharma Biotech Berhad daripada CCM pada tahun 2017 yang memberi syarikat tersebut ketangkasan untuk meneruskan strategi pertumbuhannya bagi memastikan kemampanan syarikat di masa depan.
Dengan pengalaman dan pengetahuan luas BKB dalam industri kimia, PNB percaya bahawa BKB serasi dengan strategi CCM, dan dapat memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju syarikat kimia di Malaysia. Pada masa yang sama, penglibatan BKB yang kini diperluas dalam pembuatan bahan kimia industri akan membolehkan CCM untuk memenuhi keperluan pelanggan dan pasaran geografi yang lebih luas.
"Kami sangat menghargai kepercayaan dan keyakinan para pemegang unit kepada kami untuk menghasilkan pulangan bagi pelaburan mereka, dan kami akan terus berusaha dan bertindak demi kepentingan terbaik mereka.
"Sebagai penjaga kekayaan milik berjuta pemegang unit Bumiputera dan rakyat Malaysia, PNB sentiasa mendukung mandat kami dalam setiap keputusan pelaburan dan terus komited melaksanakan standard pengendalian tertinggi dalam usaha menjana pulangan kepada pemegang unit kami,” kata Ahmad Zulqarnain Onn. - DagangNews.com