PNS bayar zakat perniagaan RM1.03 juta bantu asnaf | DagangNews Skip to main content

PNS bayar zakat perniagaan RM1.03 juta bantu asnaf

Pengerusi PNS, Datuk Zakaria Mohd. Edris (kanan) menyerahkan zakat perniagaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri (tengah) pada Majlis Pembayaran Zakat Perniagaan anjuran PPZ-MAIWP hari ini. 

 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Perbadanan Nasional (PNS) menyerahkan bayaran zakat perniagan berjumlah RM1.033 juta kepada Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Pengerusi PNS, Datuk Zakaria Mohd. Edris berkata, penyerahan sumbangan zakat itu diharap dapat membantu meringankan beban kewangan golongan asnaf ketika penularan COVID-19 dan membantu mereka yang terkesan akibat pandemik tersebut.

“Semoga pengagihan zakat ini dapat membantu golongan asnaf untuk menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik dan usaha ini diharap dapat membantu meringan beban golongan yang memerlukan.

"PNS prihatin dengan situasi semasa yang melanda negara dan akan sentiasa melihat keperluan yang timbul dari semasa ke semasa bagi membantu semua pihak yang terjejas terutama ketika tempoh penularan wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan. 

Penyerahan pungutan zakat itu disampaikan oleh Zakaria kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri dalam Majlis Pembayaran Zakat Perniagaan anjuran PPZ-MAIWP hari ini.

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu pada masa sama akan menerima wang Wakalah daripada PPZ-MAIWP sebanyak RM516,500 bersamaan 50% daripada jumlah zakat perniagaan yang telah dibayar untuk diagihkan sendiri kepada golongan asnaf yang layak. 

Pengagihan wang Wakalah ini dijangka memberi manfaat kepada 425 keluarga asnaf fakir dan miskin, 400 anak-anak asnaf fakir dan miskin, 20 asnaf preneurs, 244 pelajar di bawah kategori asnaf fisabilillah dan 10 pusat kebajikan. 

Ia merangkumi bantuan seperti Bantuan Aidilfitri, Bantuan Sara Hidup, Bantuan Keperluan Harian, Bantuan Keperluan Sekolah, Bantuan Modal Perniagaan, Bantuan Pendidikan dan Bantuan Badan Kebajikan. - DagangNews.com