MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
POLITIK TEMPAT KERJA mungkin bagi sesetengah daripada kita yang terkurung di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan pada masa ini agak tidak relevan. Berapa bulan sudah tidak boleh ke pejabat.
Mula-mula dulu seronok juga, habis saja mesyuarat secara maya, boleh sambung tidur. Tapi selepas lima, enam bulan mulalah rindu-rinduan. Kadang-kadang mengelamun memandu ke pejabat. Rindu traffic jam. Rindu berebut petak parking.
Bagi yang masih ada pejabat untuk diduduki, terutama kawasan hijau atau dalam industri `essential’ yang dibenar beroperasi semasa pandemik COVID-19 ini, mungkin masih memahami makna `politik tempat kerja’ atau dalam bahasa Inggeris, workplace politics.
Ia didefinisikan sebagai satu proses atau tingkah laku di dalam interaksi manusia membabitkan kuasa dan bidang kuasa. Ia juga suatu alat untuk menilai kapasiti operasi dan menyeimbangkan pandangan pelbagai pihak-pihak berkepentingan. Istilah lain ialah politik organisasi.
Definisi di atas saya petik dari Wikipedia.
Ok, jangan ketawa. Saya bukan hendak buat lawak, cuma sekadar menyindir rakan sekerja yang meletakkan Wikipedia sebagai sumber rujukan utama di dalam kertas kerja rasmi mereka.
Tidak salah merujuk Wikipedia tetapi anggap ia sebagai `pencetus sumber’. Anda kena rujuk sumber yang diguna Wikipedia untuk kesahihan. Jika tiada rujukan, maka jangan pakai.
Jangan juga petik `Wikipedia sahaja’, itu adalah salah. Sama seperti anda petik ‘Perpustakaan Bandar’. Tentulah aneh. Anda kena masuk dalam perpustakaan, cari buku dan petik tulisan di dalamnya. Bukan kata `Perpustakaan Bandar’. Ini analogi Wikipedia. Tolonglah faham.
Hal politik tempat kerja ini terlintas di minda apabila membaca seorang kerani sebuah jabatan kerajaan ditahan SPRM kerana disyaki menjadi tauke jual manusia. Hasilnya, empat kereta SUPER MEWAH. Selepas isu Macau Scam tempohari, tentu anda perasan satu jenama kereta SUPER MEWAH yang turut dirampas kali ini. Ahhh sudah... rosak imej pemilik tulen.
Orang akan kata kes itu apa pula kaitan dengan politik tempat kerja? Bukankah itu kes di bawah kesalahan rasuah. Betul.
Tetapi fikirlah. Bagaimana kerani itu boleh terlepas dari radar, tidak ditegur atau orang perasan aktivitinya? Bukankah politik tempat kerja jugalah boleh menjadi satu daripada puncanya, kerana orang atasannya tidak ambil peduli atau mungkin tahu, tapi buat-buat tak tahu. Tunggulah SPRM selesai siasat. Harap kali ini tiada berulang cerita orang lompat pagar lagi ya.
Ada pelbagai contoh politik tempat kerja (dan pernah dihurai oleh Merrepak sebelum ini) yang membawa kepada suasana tidak harmoni warga kerja, kecuali mereka yang bersengkokol berpolitik, itu golongan maha bahagia!
Bila sebut politik ini, bukan merujuk kepada pegawai A sokong parti pemerintah, pegawai B sokong pembangkang ya. Politik tempat kerja adalah dalam kategorinya tersendiri, walaupun tidak boleh pula kita nafikan ada juga contoh ia terjadi disebabkan perbezaan fahaman politik.
Politik tempat kerja ini merujuk kepada keinginan memiliki kuasa eksekutif membuat keputusan di dalam sesuatu organisasi atau pejabat baik sektor awam, mahupun swasta.
Benar ada pekeliling am, ada SOP, ada aliran kerja tetapi benda ini tetap wujud. Sebab ini melibatkan keperluan memiliki rakan setugas atau bawahan yang `sealiran pemikiran’ bagi memastikan matlamat kerja dicapai.
Apakah ini sesuatu yang jijik?
Tidak. Seperti digariskan oleh Wikipedia (jangan gelak..) : “Ia juga suatu alat untuk menilai kapasiti operasi dan menyeimbangkan pandangan pelbagai pihak-pihak berkepentingan”.
Maka ringkasnya, ia adalah alat yang harus ada. Sebab di dalam sesuatu pejabat tidak perlu wujud demokrasi. Kalau semua orang boleh persoalkan sesuatu arahan kerja, memang tidak jalan langsunglah kerja. Setuju?
Jadi kena ada orang sealiran yang akan melakukan kerja, memastikan orang melaksanakannya. Inilah mekanisme politik pejabat.
Ada pelbagai lagi contoh sebenarnya, berkaitan kebaikan-kebaikan politik tempat kerja ini. Ia bergantung kepada tempat kerja anda. Dan siapa rakan sekerja anda. Kalau ada banyak spesies alfa, memang galak berlaku.
Begitu juga bab negatif ada pelbagai. Yang mengidam sesuatu jawatan, tetapi kecewa bila jawatan itu diberi kepada orang lain, dan lagi sakit hati orang itu dari luar organisasi, seolah-olah orang lama tidak berkelayakan.
Mereka ini biasanya, tidak rajin bertanya diri sendiri mengapa mereka tidak terpilih untuk dinaikkan pangkat. Mereka tidak berminat hendak mengetahui apakah tugas mereka menepati piawaian yang ditetapkan, mencapai KPI atau berkomunikasi secara berhemah dengan ketua.
Ya, kalau bercakap pun tidak, berjumpa pun selalu hendak mengelak dengan ketua, itu jatuh dalam kategori tiada komunikasi berhemah dengan majikan/ ketua.
Soal malu atau segan, itu sama sekali tidak masuk akal. Bila ditanya menerusi WhatsApp, dijawab sekadar `Ok. Noted’. Bila ketua ajak berbincang, pandai-pandai pula beritau ketua supaya tunggu hari Sabtu sebab Isnin-Jumaat sibuk dan keletihan. Ketua tunggu sampai Ahad, tiada berita.
Begitu juga bila individu itu diberi peranan sebagai mandur. Tugasnya ialah mandur, merangkumi aspek perancangan berapa pekerja diperlukan pada hari itu, mengurus jadual kerja, cuti sakit demam. Masalahnya mandur pun turun padang sama. Tidak salah turun padang. Tetapi sampai ketua tertanya mana segala benda perancangan atau jadual, itu tandanya mandur itu sesuai jadi pekerja sahaja sebab tiada skil pengurusan.
Kalau anda dilantik jadi jeneral perang, tugas anda menyusun strategi serangan, menggembleng soldadu sama ada serang menerusi laut atau darat. Bila jeneral juga turun padang, siapa pula hendak buat kerja jeneral?
Senario di atas memerlukan ketua melaksanakan politik tempat kerja untuk mendapatkan jeneral yang berperangai jeneral.
Jadi anda faham sekarang bahawa politik tempat kerja itu ada baik dan buruk, bukan sesuatu yang jijik totok tetapi boleh menjadi alat yang baik untuk laksanakan tugas.
Mungkin ada yang kata, pejabat saya selamat sebab tiada office politicking. Mungkin anda betul. Mungkin juga anda tidak tahu apa-apa sebab anda belum lagi jadi jeneral.
Sekian Merrepak saya hari ini. Kalau anda dapat ke pejabat esok, jangan lupa pakai pelitup muka dan jangan lupa jalan ke pejabat. Maklumlah. Lama sudah berkurung di rumah. - DagangNews.com
MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, yang merupakan Editor DagangNews.com dan bekas Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Menghitung Hari oleh Kris Dayanti berulang-ulang kali.
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud dengan `membebel'.