Porsche Cayenne dipasang di Malaysia bakal dieksport ke pasaran serantau | DagangNews Skip to main content

Porsche Cayenne dipasang di Malaysia bakal dieksport ke pasaran serantau

KUALA LUMPUR 24 Julai - Konglomerat Sime Darby Bhd mengembangkan kilang pemasangan Porsche di Kedah bagi memudahkan pengeluaran tempatan varian kedua model Cayenne.

 

Kilang kemudahan Inokom di Kulim telah diperluaskan kepada 11,000 meter persegi bagi melancarkan pengeluaran plug-in Cayenne S E-Hybrid Coupé. 

 

Sime Darby dan Porsche, dalam satu kenyataan bersama hari ini, memaklumkan varian baharu itu menjadikan pemasangan tempatan pertama Porsche yang akan dieksport ke pasaran Thailand.

 

"Perkembangan ini menandakan pertumbuhan besar dan potensi inovasi serantau, menggariskan kepentingannya bagi perniagaan global Porsche," kata syarikat itu.

 

Sime Darby dan Porsche berkata, kemudahan pemasangan tempatan itu dibina untuk memenuhi piawaian kemampanan, menampilkan panel solar dengan sistem pemantauan pintar pada bumbungnya untuk membekalkan kuasa bagi operasi, sekali gus mengurangkan penggunaan elektrik.

 

 

iktisad

 

parafrasa

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, perkembangan itu merupakan pencapaian penting bagi Sime Darby dan Porsche bagi membuka peluang baharu di rantau Asean sambil mengesahkan keupayaan bakat tempatan berkemahiran tinggi.

 

"Kami tetap teguh dalam komitmen kami menyampaikan produk memenuhi permintaan pelanggan Porsche dan melangkaui pasaran domestik ke Thailand," ujarnya. 

 

Selain itu, ahli lembaga eksekutif pengeluaran Porsche, Albrecht Reimold, berkata kumpulan itu menerokai wilayah baharu dengan menubuhkan kemudahan pemasangan tempatan di Malaysia pada 2022.

 


"Kami telah mencapai banyak sasaran penting. Contohnya, lebih 2,000  pemasangan Cayenne tempatan akan dimiliki keluarga Malaysia dalam masa hanya dua tahun selepas pemasangan dimulakan.

 

"Hari ini, kami bersedia untuk masa hadapan dengan mempertingkatkan tapak kami di Kulim, memastikan Cayenne dieksport pertama ke rantau ini memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan kami," ulas beliau.- DagangNews.com