KUALA LUMPUR 20 Feb – Pos Malaysia Berhad, penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, hari ini mengumumkan ia mengurangkan kerugian bersih setahun penuh dengan ketara sebanyak 50.0%.
Pos Malaysia terus mencatat kemajuan yang kukuh dengan pelan transformasi di tengah-tengah persekitaran makroekonomi yang lemah dan sangat mencabar, kesan daripada memperbaiki segmentasi pelanggan yang mendatangkan hasil yang lebih baik, serta usaha yang berkesan dalam mengurus dan mengoptimumkan asetnya.
Dalam 12 bulan berakhir Disember 2022 (FY2022), Kumpulan mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM167.7 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM335.7 juta bagi tempoh yang sama pada 2021.
Ia dicatatkan walaupun hasil Kumpulan merosot sebanyak 10.5% kepada RM1.96 bilion pada FY2022 daripada RM2.19 bilion pada FY2021.
Melihat kepada tiga bulan berakhir Disember 2022 (4Q FY2022), kerugian bersih Kumpulan bertambah baik sebanyak 20.1% kepada RM98.4 juta daripada RM123.2 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu, berikutan penurunan 11.6% dalam hasil Kumpulan yang mencatatkan RM467.2 juta daripada RM528.6 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata, “Pada suku keempat, Pos Malaysia terus mencatatkan kemajuan yang kukuh dengan pelan transformasi yang kami laksanakan pada Ogos 2021.
"Dalam persekitaran makroekonomi yang semakin tidak menentu dan berubah-ubah, kami mampu untuk memaksimumkan hasil dan memanfaatkan aset kami dengan cekap.
“Walaupun tahun 2022 terjejas dengan cabaran luar biasa – inflasi yang tinggi, perkembangan pesat yang berterusan dalam sumber platform e-dagang yang lebih besar dan kembalinya pengguna ke kedai secara fizikal, saya menzahirkan terima kasih kepada pasukan Pos Malaysia yang telah bekerja keras berlipat ganda pada tahun lepas dalam mengekalkan perjalanan transformasi kami,” ujar beliau. - DagangNews.com