Power Root dijangka terus terjejas, jualan 'online' hanya bagi sumbangan kecil | DagangNews Skip to main content

Power Root dijangka terus terjejas, jualan 'online' hanya bagi sumbangan kecil

 Power Root

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Prestasi jualan syarikat Power Root Bhd. (Power Root) dijangka terus berdepan dengan tekanan susulan pelaksanaan perintah berkurung yang masih dijalankan di negara ini.

 

AmInvest Research berkata, perintah berkurung yang dijalankan itu secara tidak langsung mengurangkan pembelian dan sumbangan daripada rakyat Malaysia.

 

Menurut nota kajian itu, jualan produk berkenaan di kantin dan stesen minyak mengalami tekanan dan keterjejasan yang paling teruk.

 

"Bagaimanapun, jualan di pusat beli-belah kejiranan dan kedai serbaneka menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding dengan jualan produk secara tunggal (stand-alone counterparts).

 

"Meskipun jualan dalam talian menunjukkan peningkatan sepanjang tahun kewangan 2021, jumlahnya jualan itu bagaimanapun masih kecil.

 

"Jualan secara dalam talian hanya menyumbang kurang 1% daripada perolehan rakyat Malaysia," jelas AmInvest Research.

 

Mengulas berkaitan dengan sekatan pergerakan akibat pandemik dan isu di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), syarikat berkenaan menjangkakan  pihaknya akan terus berdepan dengan margin keuntungan yang lemah.

 

Jelas kumpulan itu, margin keuntungan yang lebih akan berterusan hingga akhir 2021.

 

AmInvest Research percaya dengan pengenalan cukai nilai tambah (VAT) di Qatar pada 2021 atau 2022 akan memburukkan lagi keadaan di rantau berkenaan.

 

Sementara itu, kilang perisa Power Root di Setia Alam, Selangor yang dijadualkan beroperasi pada suku keempat 2021 terpaksa ditangguhkan akibat PKP dan PKPD.

 

Kilang berkenaan pada awalnya dijangka membantu mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga berkaitan perisa selain meningkatkan margin COGS.

 

Dalam masa sama, Power Root turut membuat penutupan selama seminggu kilang di Johor pada bulan ini dalam usaha membendung wabak.

 

Bagaimanapun, AmInvest Research memberitahu, pihaknya percaya perkara tersebut tidak akan memberi kesan yang besar terhadap pendapatan syarikat berkenaan kerana hanya ditutup selama seminggu.

 

"Purata pengoperasian kilang Power Root masih tinggi pada kadar 95% meskipun terdapat arahan pengurangan tenaga kerja sebanyak 60%," jelas AmInvest Research.

 

AmInvest Research menaik taraf saranan saham Power Root kepada 'beli' berbanding saranan 'pegang' sebelumnya dengan harga sesaham bernilai RM1.21. - DagangNews.com