PR1MA kemuka cadangan kerjasama dengan Masdar bangunkan kediaman, komuniti mampan | DagangNews Skip to main content

PR1MA kemuka cadangan kerjasama dengan Masdar bangunkan kediaman, komuniti mampan

Datuk Seri Mohd Nazri Md. Shariff (dua dari kiri) menyerahkan kertas cadangan kerjasama antara PR1MA dan Masdar kepada Fatima Al Madhloum Al Suwaidi (dua dari kanan).
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - PR1MA Corporation Malaysia (PR1MA) mengemukakan kertas cadangan kepada Abu Dhabi Future Energy Company (Masdar) bagi jalinan kerjasama dalam meningkatkan kemampanan di kediaman dan komuniti PR1MA.

 

Cadangan itu menggariskan hasrat untuk meneroka kerjasama dengan tujuan untuk mengintegrasikan teknologi tenaga bersih termaju ke dalam komuniti dan pembangunan PR1MA.

 

Perkongsian itu akan adalah bagi membangunkan keupayaan PR1MA dalam memacu agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan tenaga bersih dalam pembangunan dan komuniti mereka.

 

PR1MA dan Masdar juga mungkin melihat ke arah pembangunan pintar dan projek ESG yang mampan dan berdaya maju dari segi ekonomi.

 

Kertas cadangan itu dibentangkan Ketua Pegawai Eksekutif dan Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md. Shariff kepada Presiden Pengarah Masdar Indonesia, Fatima Al Madhloum Al Suwaidi. 

 

Mohd. Nazri berkata, PR1MA sentiasa mengalu-alukan kerjasama bagi meningkatkan keupayaan dalam menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti tinggi dan mampan untuk rakyat Malaysia.

 

"Saya menaruh harapan tinggi agar kerjasama ini menandakan permulaan perkongsian yang sangat baik untuk manfaat rakyat Malaysia,

 

"PR1MA dan Masdar mempunyai keupayaan bagi membentuk masa depan kemampanan, khususnya kepada pembangunan PR1MA.

 

"Kami teruja dengan kesan positif kerjasama kami yang berpotensi terhadap kesejahteraan komuniti dan penduduk PR1MA, serta bagaimana kami boleh mengintegrasikan pembelajaran ini ke dalam projek masa depan kami seperti Bandar Mini PR1MA di Teluk Intan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebagai agensi perumahan utama di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), PR1MA menyasarkan untuk menjadi peneraju pasaran dalam agenda perumahan negara dengan memacu pembangunan perumahan mampu milik berkualiti dan pemilikan rumah untuk semua rakyat Malaysia, serta komuniti mampan berdasarkan prinsip ESG.

 

Bagi meningkatkan kemampanan, PR1MA memberi tumpuan dalam meningkatkan penggunaan teknologi moden dan amalan lestari, seperti penuaian air hujan untuk kawasan komunal, penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mengurangkan sisa pembinaan, dan kemudahan kitar semula dalam komuniti. - DagangNews.com