Prasarana umum bantuan RM1,000 kepada semua mangsa kemalangan 2 tren LRT | DagangNews Skip to main content

Prasarana umum bantuan RM1,000 kepada semua mangsa kemalangan 2 tren LRT

KUALA LUMPUR 25 Mei - Susulan pengumuman oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkenaan insiden membabitkan 2 buah tren LRT semalam, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memberi jaminan bahawa ia akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Siasatan.

 

Jawatankuasa Siasatan itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak bersama pasukan dalam Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan agensi-agensi di bawahnya.

 

"Pihak Prasarana juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menyiasat 
insiden berkenaan di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010," kata Prasarana dalam kenyataan di sini.


Di dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.33 malam pada 24 Mei 2021, sebuah tren tidak membawa 
penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang. 

 

  • Seramai 47 orang penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan setelah dinilaikan oleh pasukan penyelamat dan perubatan kecemasan, 
  • Manakala 17 orang lagi menyusul lewat malam, menjadikan jumlah mereka yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur sebanyak 64 orang. 
  • Seramai 102 penumpang yang lain tiada kecederaan atau mengalami cedera ringan. 

 

Kiraan awal menunjukkan tren tersebut dinaiki seramai 232 penumpang. Namun demikian, kiraan muktamad menunjukkan jumlah sebenar ialah 213 orang.

 

Daripada 64 orang yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur:
1. Tahap kritikal: 6 orang termasuk 3 orang yang memerlukan bantuan ventilasi.
2. Tahap separa-kritikal: 15 orang
3. Tahap tidak kritikal: 43 orang

 

Data diperolehi daripada Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Heric Corray menerusi e-mel 
kepada Prasarana pagi tadi.

 

Pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi itu antara lain adalah pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

 

Sebanyak tiga buah jentera penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia and seramai lebih kurang 40 orang tenaga kerja pasukan penyelamat dan bantuan kecemasan berada di tempat kejadian.

 

Pintu tren telah dibuka pada lebih kurang jam 8.48 malam dan kesemua penumpang berjaya dikeluarkan dari tren yang terhenti di antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru pada lebih kurang jam 9.28 malam.

 

Bercakap dengan pihak media selepas tinjauan dan taklimat oleh pihak operasi LRT Laluan Kelana Jaya pagi ini, Pengerusi Prasarana, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman melahirkan rasa kesal dan dukacita atas kejadian yang tidak diingini ini.

 

“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan seluruh warga kerja Prasarana, kami memohon maaf kepada 
seluruh rakyat Malaysia dan para penumpang kami khususnya atas insiden yang tidak diingini ini. 
Kami amat sedih dengan kejadian ini yang menghapuskan rekod bersih LRT Kelana Jaya yang telah 
beroperasi selama 23 tahun tanpa sebarang insiden sebegini.”

 

“Di samping memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian 
Pengangkutan dan PDRM, fokus utama kami adalah untuk pembuat penilaian dan mengesyorkan 
langkah segera yang akan diambil untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya 
kepada para penumpang terbabit,” tambah Tajuddin.

 

Tajuddin turut mengumumkan tiga (3) bentuk bantuan kewangan yang akan diberikan oleh Prasarana kepada para penumpang yang terlibat:


1. Bantuan kewangan khas RM1,000 kepada semua penumpang terbabit;


2. Bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya bersesuaian dengan kecederaan yang ditanggung oleh para penumpang; dan


3. Bantuan sara hidup bagi mereka yang kehilangan pendapatan akibat insiden ini.

 

Prasarana telah melancarkan saluran khas di talian 014 737 1330 dan e-mel:  [email protected] dan meminta para penumpang yang terlibat menghubungi Prasarana dengan secepat mungkin agar urusan bantuan khas ini boleh disegerakan.

 

Berkenaan dengan perkhidmatan LRT Aliran Kelana Jaya, Prasarana mengesahkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya masih beroperasi seperti biasa bermula jam 6.00 pagi ini, dengan menggunakan satu landasan (single track) serta disokong oleh perkhidmatan bas perantara percuma (pada waktu puncak).

 

Dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu selainnya, serta 
pengurangan kapasiti kepada 50% susulan daripada pengumuman Kerajaan berhubung langkah-langkah lebih ketat dalam pelaksanaan PKP 3.0, para penumpang dijangka perlu menunggu dengan lebih lama sedikit daripada biasa. 

 

Untuk melancarkan pergerakan para penumpang pada waktu puncak, lima (5) buah bas perantara dua tingkat percuma, dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit, turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park. 

 

“Kakitangan kita ditempatkan di setiap platform stesen di antara Stesen Pasar Seni sehingga Stesen Ampang Park untuk memantau, membantu bagi memudahkan pergerakan penumpang.Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hari, setelah semua kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selesai. Prasarana juga telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kerja-kerja sanitasi di Stesen KLCC serta di kawasan sekitarnya bagi mencegah penularan wabak COVID-19,” ujar Tajuddin.

 

Prasarana akan memberikan kenyataan lanjut secara berkala berkenaan insiden ini pada masa yang  sesuai. - DagangNews.com