Presiden UMNO, BN tidak boleh buat sebarang keputusan tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi - Onn Hafiz | DagangNews Skip to main content

Presiden UMNO, BN tidak boleh buat sebarang keputusan tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi - Onn Hafiz

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - Presiden UMNO dan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa mendapat persetujuan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan BN.

 

Menteri Besar yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, terdapat laporan menyatakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sedang sbuk menjalan rundingan bersama Pakatan Harapan (PH).

 

Beliau menegaskan, Ahmad Zahid tidak seharusnya menjalankan rundingan dengan mana-mana pihak kerana disebabkan imejnya menjadi punca kepada kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

"Untuk pengetahuan umum, presiden parti UMNO dan BN tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Majlis Tertinggi BN.

 

"Oleh itu, sebarang keputusan yang dibuat oleh presiden parti tanpa proses ini adalah dikira tidak sah dari segi perlembagaan parti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, terdapat laporan menyatakan Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memuktamadkan kerjasama bagi membentuk kerajaan baharu pada 21 November 2022.

 

onn
Datuk Onn Hafiz Ghazi

 

Setakat ini belum ada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan sehingga meletakkan Parlimen dalam situasi tergantung.

 

Onn Hafiz berkata, keputusan terakhir UMNO adala tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

 

Tegasnya, UMNO dan BN harus kekal bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalan besar seperti itu.

 

"Sekali lagi saya memohon dan merayu agar Presiden UMNO meletak jawatan secara terhormat pada kadar yang segera," katanya.

 

Keputusan rasmi menunjukkan PH memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

 

BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi. - DagangNews.com