Prestasi dagangan luar Malaysia pada separuh kedua tahun ini diunjur terus menguncup - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Prestasi dagangan luar Malaysia pada separuh kedua tahun ini diunjur terus menguncup - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jun - MIDF Research mengunjurkan prestasi dagangan luar Malaysia akan terus menguncup pada separuh kedua 2023 dan ia adalah selaras dengan bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang pesimis.

 

Firma itu berkata, sentimen perniagaan yang lemah akan menambah lagi tekanan terhadap Ringgit Malaysia (RM) selain perbincangan siling hutang Amerika Syarikat (AS) dan kemungkinan lanjutan kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed).

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan susut nilai semasa RM hanya sementara dan mata wang itu akan kembali meningkat sebaik sahaja urusan fiskal dan kewangan di AS selesai.

 

"Peningkatan semula angka PMI pembuatan Jepun dan China serta keyakinan berterusan ekonomi India mungkin meningkatkan permintaan perdagangan serantau di Asia yang akan memanfaatkan ASEAN dan Malaysia.

 

"Pada separuh kedua, kami percaya prestasi perdagangan luar Malaysia mencatatkan penguncupan yang lebih kecil manakala RM dijangka kembali ke laluan peningkatan.

 

"Sementara itu, permintaan domestik di Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dalam keadaan tekanan inflasi yang lebih lemah, pasaran buruh yang bertambah baik, pemulihan aktiviti pelancongan dan dasar ekonomi yang menyokong," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, S&P Global Market Intelligence menjangkakan keadaan perniagaan dalam sektor pembuatan Malaysia kekal mencabar berikutan permintaan yang lemah.

 

PMI Pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan secara bermusim merosot kepada 47.8 pada Mei daripada 48.8 pada April, menandakan cabaran selanjutnya bagi firma dalam sektor pembuatan.

 

Firma itu berkata, indeks itu kekal di bawah 50 untuk bulan kesembilan berturut-turut dan ia merupakan penurunan paling teruk dalam lima bulan.

 

Penguncupan selanjutnya sektor perkilangan disebabkan kelembapan dalam tempahan baharu untuk kedua-dua domestik dan eksport, menunjukkan permintaan yang lebih lemah sejak September 2022.

 

"Akibatnya, pengeluaran keluaran menjadi sederhana untuk 10 bulan sebelumnya dan aktiviti pembelian direkodkan pada paras terendah 21 bulan.

 

"Aktiviti pekerjaan berkurangan pada Mei 2023 menamatkan empat bulan berturut-turut peluang pekerjaan disebabkan tahap aktiviti pengeluaran yang lebih rendah," katanya. - DagangNews.com