Prestasi kewangan ECA Integrated bagi 1HFY24 terjejas kesan kelemahan industri semikonduktor, kata PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan ECA Integrated bagi 1HFY24 terjejas kesan kelemahan industri semikonduktor, kata PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jun - Public Investment Bank (PublicInvest) percaya bahawa kelemahan prestasi kewangan ECA Integrated Solution bhd pada separuh pertama 2024 (1HFY24) adalah disebabkan kelembapan dalam industri semikonduktor.

 

Katanya, kumpulan itu hanya merekodkan keuntungan kecil sebanyak RM400,000 untuk 1HFY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata, suku semasa merupkan suku ketiga yang mencabar untuk kumpulan itu dan keputusan yang direkodkan itu dalah jauh berbeza berbanding RM7.6 juta yang diraih tahun lalu.

 

Keputusan yang lebih lemah daripada jangkaan itu hanya membentuk 6.4% daripada jangkaan tahun penuh firma itu.

 

"Walaupun mencatatkan keputusan yang mengecewakan namun pihak pengurusan menjangkakan pemulihan yang teguh dalam 2HFY24.

 

"Sementara menunggu penjelasan lanjut daripada pihak pengurusan mengenai rancangan jangka pendek dan sederhana, kami tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan kami buat masa ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Publicinvest berkata, pada suku kedua hasil kumpulan susut daripada RM9.3 juta kepada RM5.8 juta, diheret oleh jualan yang lebih lemah daripada kedua-dua segmen Sistem Pengeluaran Bersepadu dan Peralatan Automasi Kendiri akibat permintaan yang lebih lemah daripada sektor semikonduktor.

 

Kumpulan hanya mencatatkan keuntungan kecil sebanyak RM252,000 berbanding RM4.1 juta bagi tempoh yang sama setahun lalu.

 

"Margin kasar jatuh daripada 57.0% kepada 36.2%. Bagaimanapun, terdapat peningkatan berbanding 1QFY24 dengan hasil dan pendapatan meningkat masing-masing 3.6% dan 52.7%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 41 sen sesaham.- DagangNews.com