Prestasi kewangan UMediC Group diunjur positif bagi jangka panjang - HLIB | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan UMediC Group diunjur positif bagi jangka panjang - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan perkembangan jangka panjang UMediC Group Berhad berada dalam trajektori menaik meskipun berdepan pertasi kewangan lemah pada 1QFY23 kesan daripada gangguan bekalan peralatan perubatan.

 

Firma itu berkata, manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) juga menekankan cadangan untuk meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan awam kepada 5% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Katanya, cadangan itu merupakan petanda baik untuk kumpulan bagi menyediakan peralatan perubatan dan bahan habis pakai kepada kerajaan.

 

Pada masa sama, trend kerajaan mengutamakan perolehan daripada pengeluar tempatan juga merupakan petada positif bagi kumpulan itu.

 

"Kami yakin kumpulan itu akan terus berkembang berdasarkan sumbangan kukuh daripada segmen pembuatan, pemasaran serta pengederan selain ruang yang besar untuk peningkatan bahagian pasaran kerana kumpulan menyumbang hanya 0.2% bahagian daripada jumlah industri peranti perubatan di Malaysia.

 

"Produk jenama sendiri baharu dalam perancangan yang boleh menghasilkan margin keuntungan yang lebih baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu meraih untung besih teras RM1.8 juta bagi 1QFY23 dan prestasi berada di bawah unjuran firma itu membentuk hanya 15% daripada unjuran setahun penuh.

 

Sisihan negatif kepada ramalan kami adalah disebabkan oleh hasil yang lebih rendah daripada jangkaan, kerana kekurangan cip global telah menyebabkan penghantaran tertunda dalam segmen pemasaran dan pengedarannya. 

 

Firma itu menyemak turun unjuran hasil kumpulan antara 3% hingga 9% bagi FY23-FY24 selain mengurangkan sumbangan hasil daripada segmen pemasaran dan pengedaran.

 

Firma itu juga memperkenalkan unjuran pendapatan FY25 sebanyak RM18.6 juta.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 78 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com