Prestasi lemah eksport pada Februari 2024 tidak beri gambaran sebenar situasi perdagangan semasa | DagangNews Skip to main content

Prestasi lemah eksport pada Februari 2024 tidak beri gambaran sebenar situasi perdagangan semasa

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - Prestasi eksport lemah pada Februari 2024 tidak memberikan gambaran sebenar terhadap situasi sebenar perdagangan semasa.

 

RHB Investment berkata, ia berkemungkinan disebabkan jumlah hari bekerja yang lebih singkat akibat sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun optimis terhadap prospek perdagangan dan menjangkakan eksport negara terus kukuh pada separuh pertama tahun ini.

 

Katanya, pandangan itu disokong oleh prospek ekonomi global dan serantau yang lebih cerah, dinamik ekonomi China yang semakin kukuh dan kebangkitan semula dalam kitaran ekonomi global.

 

"Kami mengekalkan ramalan konsensus untuk ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China masing-masing berkembang sebanyak 2.2% dan 5% pada 2024.

 

"Indeks utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi seluruh ASEAN juga menunjukkan momentum yang lebih tinggi secara amnya.

 

"Kami telah melihat tanda-tanda peningkatan dalam momentum perindustrian dan perdagangan ASEAN dan menjangkakan sektor berorientasikan eksport iaitu elektrik dan elektronik (E&E) serta produk berasaskan komoditi mendapat manfaat daripada pengukuhan ekonomi  global dan serantau," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Prestasi perdagangan Malaysia Februari 2024 naik 3.3% seiring peningkatan import

 

Terdahulu, prestasi eksport Malaysia menurun pada Februari 2024 sejajar dengan penguncupan dalam eksport semula. 

 

Eksport semula berjumlah RM19.8 bilion, merosot 20.2% manakala eksport domestik bernilai RM91.5 bilion, menyumbang 82.2%  kepada jumlah eksport meningkat 4.7% berbanding Februari 2023.

 

RHB Investment berkata, eksport China untuk dua bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 7.1% melebihi anggaran Bloomberg sebanyak 1.9%, menawarkan isyarat optimis untuk pemulihan perdagangan global.

 

Katanya, import logam dan elektronik China dari ekonomi serantau sudah pulih sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

 

"Malaysia berada di barisan hadapan untuk mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi China kerana produk eksport utama, iaitu E&E, jentera dan kelengkapan pengangkutan serta barangan perkilangan lain, menguasai bahagian terbesar perdagangan dalam permintaan import China" katanya. - DagangNews.com