Prestasi Top Glove pada separuh kedua 2024 diunjur lebih baik disokong pemulihan permintaan, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prestasi Top Glove pada separuh kedua 2024 diunjur lebih baik disokong pemulihan permintaan, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jun - RHB Investment mengunjurkan prestasi Top Glove Corp Bhd pada separuh kedua 2024 menjadi lebih baik disokong pemulihan permintaan, saingan harga yang lebih baik daripada pembuat sarung tangan China serta peningkatan purata harga jualan (ASP).

 

Katanya, kumpulan itu juga percaya bahawa harga lateks asli dijangka stabil pada suku akan datang manakala tarif gas asli berpotensi menyusut sebanyak 3% dalam tempoh semakan seterusnya pada Julai tahun ini.

 

"Melangkah ke hadapan, jumlah pesanan dijangka meningkat disokong kapasiti tambahan sebanyak 3 bilion yang seharusnya bermula pada bulan ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Terdahulu, kumpulan itu kembali merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM50.67 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mei 2024 selepas mencatat kerugian pada tujuh suku berturut-turut sebelum ini.

 

Ia mencatat peningkatan 139% berbanding kerugian bersih RM130.59 juta yang diraihnya pada suku sama tahun lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Top Glove kembali catat keuntungan pada 3Q berikutan permintaan lebih kukuh sarung tangan 

 

Kumpulan mencatatkan pendapatan jualan sebanyak RM637 juta, peningkatan 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan ASP yang lebih perlahan dijangka datang daripada campuran produk yang tidak menggalakkan pada suku tersebut kerana jumlah yang dijual untuk produk nitril melebihi jualan yang lateks.

 

Bagaimanapun, ASP campuran untuk sarung tangan lateks telah menyaksikan peningkatan dai suku tahun ke suku tahun sebanyak 7% dan ia merupakan petanda positif dalam mengekalkan momentum pertumbuhan masa hadapan kerana produk lateks membentuk 35% hingga 40% daripada jumlah yang dijual.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.28 sesaham," katanya. - DagangNews.com