Principal Financial Group, CIMB lanjutkan perjanjian kerjasama | DagangNews Skip to main content

Principal Financial Group, CIMB lanjutkan perjanjian kerjasama

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Nov - Principal Financial Group dan CIMB Group Holdings Berhad melanjutkan perjanjian perkongsian mereka selepas lebih 17 tahun dalam perjanjian usaha sama.

 

Kedua-duanya bekerjasama untuk membawa penyelesaian pelaburan ke rantau ini melalui pengaturan usaha sama, Principal Asset Management Berhad yang mempunyai pertubuhan di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura. 

 

Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, Principal telah menggandakan aset bawah pengurusannya (AUM) di rantau ini kepada RM88.4 bilion setakat Oktober 2022.

 

Presiden Principal Asia, Thomas Cheong berkata, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama itu bagi membantu orang ramai menyimpan, merancang dan melabur untuk keselamatan kewangan mereka.

 

"Bagi keseluruhan perniagaan antarabangsa kami di Principal, kami mempunyai perkongsian yang kukuh bukan sahaja mempercepatkan pertumbuhan tetapi juga asas yang kukuh bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam pasaran individu.

 

"Bersama CIMB, kami telah mengembangkan pangkalan pelanggan kami daripada 400,000 kepada lebih 3 juta dalam tempoh empat tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya berbesar hati untuk melanjutkan kerjasama itu kerana ia menyatukan penyelesaian pelaburan yang terkemuka di pasaran dan inovatif untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka.

 

"Selama bertahun-tahun, kami telah menghasilkan pertumbuhan yang kukuh bersama Pricipal Asia Tenggara yang dilihat sebagai peneraju dalam pengurusan aset di rantau ini, khususnya di Malaysia. 

 

"Kami percaya kerjasama itu akan terus melengkapkan cadangan CIMB dalam menawarkan perkhidmatan berkaitan pelaburan terbaik dalam kelasnya, terutamanya kepada segmen mewah kami, sejajar dengan pelan strategik Forward23+," katanya.

 

Principal Asset Management menawarkan kepakaran pengurusan aset yang membezakan dengan memanfaatkan perspektif tempatan dan global untuk membawa pandangan baharu kepada pelanggan.

 

Menawarkan keupayaan pelaburan global seperti hartanah, pendapatan tetap khusus, sekuriti pilihan, darat China dan banyak lagi kepada pelanggan institusi, korporat dan bernilai bersih tinggi. Berkhidmat sebagai salah satu pengurus aset Islam terkemuka di dunia dengan AUM sebanyak RM27.6 bilion setakat Oktober 2022.

 

Antara kejayaannya termasuk pelancaran pelbagai dana yang melabur di rantau Asia-Pasifik, mewujudkan Prinsipal untuk dilihat sebagai peneraju dalam strategi Asia-Pasifik. - DagangNews.com