Produktiviti buruh di Malaysia meningkat 1.9% pada suku pertama 2024 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Produktiviti buruh di Malaysia meningkat 1.9% pada suku pertama 2024 – DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Produktiviti buruh Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.9% pada suku pertama 2024 dengan jumlah jam bekerja meningkat 2.2% kepada 9.5 bilion jam, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan pekerja yang dicatatkan ialah 16.4 juta orang, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.1% pada suku pertama 2024 (suku tahun keempat 2023: 16.3 juta orang). 

 

“Kedudukan ekonomi yang  menggalakkan, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang stabil dan kadar pengangguran yang rendah menyebabkan produktiviti buruh per jam bekerja pada suku tahun pertama 2024 meningkat 1.9%, bagi merekodkan RM42 bagi setiap jam. 

 

"Produktiviti buruh bagi setiap pekerja mencatatkan pertumbuhan 2% kepada RM24,230 bagi setiap pekerja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dari segi prestasi mengikut sektor bagi produktiviti buruh setiap jam bekerja, tiga sektor mencatat kenaikan, didahului sektor perlombongan dan pengkuarian (2.7%), perkhidmatan (1.8%) dan pertanian (0.9%) manakala sektor pembuatan menyusut kepada 0.9%.

 

info

 

Mohd. Uzir berkata, produktiviti menunjukkan peningkatan bagi kesemua subsektor perkhidmatan, iaitu pengangkutan dan penyimpanan (10.4%); hartanah dan perkhidmatan perniagaan (7.2%), utiliti (6.8%); perkhidmatan lain (2.5%); perdagangan borong dan runcit (1.6%) dan makanan & minuman dan penginapan (1.1%) kecuali kewangan dan insurans susut 9% dan maklumat dan komunikasi (1.8%).

 

Sementara itu, beliau berkata, empat subsektor menunjukkan pertumbuhan positif dalam produktiviti buruh per jam bekerja bagi sektor pembuatan iaitu produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (6.1%); produk tekstil, pakaian dan kulit (3.1%); peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (2.8%); dan produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (2.3%).

 

"Empat subsektor lain yang merekodkan pertumbuhan negatif ialah minuman dan produk tembakau (9.3%); produk elektrik, elektronik dan optikal (3%); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (2.9%) dan minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan (-2.4%).

 

"Produktiviti buruh dijangka mencatatkan prospek yang lebih baik memandangkan ekonomi Malaysia semakin pulih. 

 

"Momentum positif pertumbuhan pasaran buruh dan aktiviti perniagaan yang berkembang pesat serta pengukuhan modal insan adalah antara faktor peningkatan produktiviti buruh," katanya. - DagangNews.com