Program DDE lengkapkan teknologi data, perkasa syarikat tempatan harungi IR4.0 - MDEC | DagangNews Skip to main content

Program DDE lengkapkan teknologi data, perkasa syarikat tempatan harungi IR4.0 - MDEC

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menjalinkan kerjasama dengan firma penyelidik, International Data Corporation (IDC) bagi melancarkan alat penilaian kesediaan untuk Data, Analitik dan Kecerdasan Buatan (AI).

 

MDEC dalam satu kenyataan berkata, pelancaran alat berkenaan adalah untuk kegunaan syarikat-syarikat tempatan bagi menilai kedudukan dan kesediaan menjadi organisasi yang berpandukan data bagi mengharungi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

 

Kerjasama yang digerakkan melalui Program Data Driven Enterprise (DDE) itu adalah langkah penting bagi membolehkan perniagaan tempatan mendapat sokongan yang diperlukan untuk meningkatkan operasi, taktikal dan strategi selain mengembangkan aset perniagaan dengan lebih luas.

 

Melalui program yang disalurkan MDEC itu, Hartalega, Mah Sing dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjaya menggabungkan teknologi data ke dalam operasi syarikat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Holdings Bhd, Kuan Mun Leong berkata, pada peringkat awal, syarikatnya memerlukan 10 pekerja untuk menghasilkan sejuta sarung tangan dalam tempoh sebulan. 

 

Bagaimanapun menerusi pelaburan teknologi digital, syarikat itu hanya memerlukan sekitar 2.5 pekerja untuk menghasilkan produk berkenaan dalam jumlah dan tempoh masa yang sama.

 

Bagi Mah Sing pula, syarikat tersebut menerapkan budaya kerja berprestasi tinggi melalui pendekatan top-down yang menyaksikan setiap hasil kerja dapat diukur.

 

Mah Sing mempraktikan sentuhan teknologi merangkumi metrik utama seperti kepantasan dokumentasi, kemampuan petugas memberi maklum balas yang pantas kepada pelanggan dan menilai semula keberkesanan pemasaran digital syarikat.

 

"Melalui data yang dikumpulkan, syarikat dapat mengubah proses dan seterusnya memberikan pelanggan tawaran dan perkhidmatan yang lebih baik.  

 

"Menerusi temu bual dengan MDEC, Mah Sing mendedahkan bahawa penglibatan pelanggan meningkat dari tahun ke tahun sehingga mencecah  75% pada tahun lalu," jelas MDEC.

 

Dalam pada itu, kefahaman yang lebih mendalam terhadap data membantu syarikat PNB berkhidmat dengan lebih baik kepada pelanggannya.

 

Melalui data yang diperoleh PNB, syarikat GLC itu mendapati 30% pelanggannya merupakan pengguna peranti iOS, manakala 70% menggunakan Android. 

 

Data berkenaan dapat membantu syarikat membangunkan aplikasi dalaman yang berfungsi mengikut peranti yang digunakan oleh pelanggan.


 

Syarikat tempatan disaran memanfaatkan perkhidmatan nilai tambah yang ditawarkan melalui Program DDE termasuk;

  • Alat penilaian kesediaan percuma untuk mengukur kesediaan syarikat berdasarkan Data Analitik dan Kecerdasan Buatan (AI).
  • Sesi perundingan percuma selama dua jam bersama pakar data dan analitik MDEC.
  • Bengkel pengetahuan data/webinar dengan lebih daripada 50 penyedia teknologi data dari industri.
  • Akses ke latihan, peningkatan kemahiran dan pemudahcaraan bakat dalam bidang data/AI.
  • Akses ke kajian kes, perkongsian penyelesaian dan rujukan dari pakar-pakar industri.
  • Pemudahcara perniagaan, memadan keperluan perniagaan dengan penyedia teknologi data MDEC.

 

 

"Pelancaran Program DDE secara percuma diyakini akan membolehkan perniagaan tempatan lebih memahami keperluan dan seterusnya meningkatkan kesediaan mereka terhadap teknologi ini. 

 

"Program DDE juga sejajar dengan visi MDEC mengenai Malaysia 5.0 yang memungkinkan negara terintegrasi dengan teknologi bagi dan seterusnya memberikan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan," tambah MDEC lagi. - DagangNews.com