Program Ekonomi Donat Ipoh terima Anugerah Tinjauan Kehormat UN-Habitat 2024 | DagangNews Skip to main content

Program Ekonomi Donat Ipoh terima Anugerah Tinjauan Kehormat UN-Habitat 2024

Model Ekonomi Donat untuk menjadikan Ipoh bandar membangun contoh di Malaysia yang regeneratif dan mampan.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 4 Sept - Program Ekonomi Donat Ipoh telah memenangi Anugerah Tinjauan Kehormat UN-Habitat 2024 atas usahanya untuk mengubah Ipoh menjadi ‘Bandar Ekonomi Donat’ regeneratif yang berfokus pada kesihatan, alam sekitar dan pembangunan mampan. 

 

Ini merupakan kali ketiga Malaysia menerima anugerah tersebut.

 

Dilancarkan pada Mac 2023 dengan geran daripada Yayasan Hasanah, projek ini adalah kerjasama antara Pusat Kesihatan Planetari Universiti Sunway (SCPH), Institut Darul Ridzuan (IDR), People of Remarkable Talent (PORT) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

 

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan MBI dan Universiti Sunway memaklumkan, anugerah yang diberikan ini mengiktiraf kecemerlangan dalam pembangunan bandar.

 

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif iDEC, Dr. Zulqarnain Mohamad dijangka menerima anugerah ini bagi pihak projek pada Oktober depan semasa acara ‘Beyond the 2030 Agenda’ di Queretaro, Mexico.

 

Perak
Rumaizi (tengah) bersama Presiden Universiti Sunway, Prof Sibrandes Poppema (dua dari kanan), Jemilah (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Dr. Maisarah Ahmad semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman bagi Program Flagship 15-Ipoh Bandaraya Ekonomi Donat 2027 pada 2023.
 

 

Dalam kenyataan itu, Rumaizi memberitahu, kepentingan pencapaian ini terletak bukan sahaja pada anugerah tetapi dalam pengiktirafan komitmen bersama pihak terlibat untuk mengubah Ipoh menjadi sebuah bandar yang mampan, inklusif dan berdaya tahan. 

 

“Ia mencerminkan impak yang kuat dalam menerapkan model Ekonomi Donat yang mengintegrasikan dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar untuk mencapai laluan pembangunan yang seimbang dan mampan. 

 

“Kerja kami menjadi bukti bagaimana bandar-bandar, apabila dibimbing oleh rangka kerja inovatif, boleh berkembang dalam batas ekologi sambil meningkatkan kesejahteraan komuniti mereka. 

 

“Kami berhasrat untuk terus berusaha dalam menyelaraskan pembangunan kami dengan had ekologi sambil memperkukuhkan asas sosial komuniti Ipoh. 

 

“Kami komited untuk memajukan usaha ini, memanfaatkan prinsip Ekonomi Donat untuk mencipta masa depan yang lebih hijau dan inklusif untuk Ipoh dan seterusnya,” ujarnya.

 

Perak

 

Perak
Sebahagian daripada peserta Bengkel Strategi Komunikasi Ke-2 Ipoh Bandaraya Ekonomi Donut 2024 bulan lalu yang memberi fokus kepada pelancongan lestari.
 

 

Rumaizi juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming atas sokongan dan sumbangan mereka yang amat berharga. 

 

Komitmen dan dedikasi mereka telah memainkan peranan penting dalam memajukan inisiatif bandar ini dan memastikan kejayaan projek-projek ini. 

 

Jelas kenyataan tersebut, walaupun MBI mengetuai projek ini, menguruskan persediaan asas dan mewujudkan landasan untuk inisiatif Ekonomi Donat Ipoh, peranan penting juga dimainkan Universiti Sunway sebagai rakan kongsi pengetahuan utama.

 

Kata Pengarah Eksekutif SCPH, Prof Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Sunway Universiti terhadap kesihatan planetari dan Matlamat Pembangunan Mampan serta menonjolkan dedikasi universiti untuk menjadi 'Kampus Dengan Kesedaran,' yang secara aktif memacu penyelesaian mampan dan memupuk warga negara global yang bertanggung jawab.

 

Selaras dengan matlamat FLAGSHIP 15 dalam Rancangan Perak Sejahtera 2030, MBI memperkukuhkan komitmennya untuk mengeratkan kerjasama dengan pihak berkepentingan untuk membina Ipoh yang berdaya tahan, sihat, dan mampan. 

 

Ipoh berhasrat untuk menjadi contoh perintis bagi bandar-bandar lain di Malaysia dan ASEAN dalam mengadaptasi model pembangunan bandar yang regeneratif dan mampan. - DagangNews.com