Program ganjaran Starbuck antara penyumbang lonjakan keuntungan Q4 Berjaya Food  | DagangNews Skip to main content

Program ganjaran Starbuck antara penyumbang lonjakan keuntungan Q4 Berjaya Food 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pendapatan teriktiraf daripada penangguhan hasil pelaksanaan ganjaran Starbucks yang digantikan dengan program baharu antara faktor yang mendorong keuntungan bersih Berjaya Food Berhad pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21) melonjak kepada RM14.27 juta. 

 

Prestasi keuntungan itu meningkat daripada kerugian bersih berjumlah RM30.16 juta yang dicatatkan kumpulan pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Bagi suku tahun yang berakhir 30 Jun 2021 itu, Berjaya Food menyaksikan hasil kumpulan melonjak kepada RM180.72 juta daripada RM111.57 juta dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

 

“Operasi kumpulan pada suku tahun semasa tidak terjejas teruk berbanding suku tahun sama pada tahun lalu, memandangkan perintah berkurung tidak dikuatkuasakan sebelum itu.

 

“Kumpulan juga lebih bersedia pada suku tahun tersebut berbanding tahun lalu dan melaksanakan pelbagai langkah untuk beroperasi dengan cekap,” jelas Berjaya Food dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.

 

Bagi prestasi kewangan sepanjang FY21, Berjaya Food mencatatkan hasil berjumlah RM717.27 juta yang meningkat daripada RM632.94 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya. 

 

Ini susulan langkah penguatkuasaan yang dilonggarkan sejak suku tahun pertama membantu kumpulan untuk mencatatkan pertumbuhan jualan sama seperti di dalam kedai yang lebih tinggi, sekali gus mendorong lonjakan hasil lebih baik.

 

Dalam pada itu, Berjaya Food turut mengisytiharkan dividen interim keempat pada kadar 1 sen sesaham dan dijangka diagihkan pada 23 September 2021.

 

Ini sekali gus menjadikan jumlah dividen yang diumumkan pada tahun kewangan semasa bernilai 3 sen sesaham berbanding 2 sen yang diisytiharkan pada FY20. - DagangNews.com