Program GET terima lebih 40% langganan daripada sektor perindustrian, komersial | DagangNews Skip to main content

Program GET terima lebih 40% langganan daripada sektor perindustrian, komersial

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Sejak dibuka pada 3 Mei 2024, program Tarif Elektrik Hijau (GET) menerima lebih 40% langganan khususnya daripada sektor perindustrian dan komersial seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, peruncitan dan perkhidmatan kewangan, serta institusi kerajaan. 

 

Pengarah Urusan TNBX, anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Mohd  Razif Abd Halim berkata, GET adalah penyelesaian inovatif untuk perniagaan yang komited  kepada kelestarian dan meningkatkan penarafan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Sambutan yang menggalakkan ini mencerminkan peningkatan komitmen terhadap kelestarian merentasi pelbagai industri. 

 

"Dengan melanggan GET, syarikat boleh memastikan 100% tenaga elektrik hijau digunakan untuk operasi mereka, yang diperakui Sijil Tenaga Baharu Malaysia (mREC)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Menerusi langgan GET, ia akan meningkatkan kelayakan kelestarian syarikat untuk menarik lebih ramai pelabur manakala dengan premium tambahan 3 sen bagi setiap kWj, perniagaan besar boleh mencapai 100% tenaga elektrik hijau.

 

get
Contoh sijil mREC yang akan diberikan kepada pelanggan program GET.

 

Langgan itu juga membolehkan syarikat menikmati kadar GET tetap kerana ia tidak terkesan dengan harga bahan api global dengan pembaharuan tahunan automatic, tertakluk kepada semakan kerajaan.

 

Bagi permohonan sebelum 31 Mei 2024, pemohon boleh mengundurkan tempoh langganan GET kepada 1 Januari 2024, bagi membantu mencapai sasaran kemampanan tahun semasa.

 

Razif berkata, syarikat yang mempunyai sistem solar fotovoltai (PV) sedia ada juga memilih GET untuk memastikan operasi mereka 100% hijau. 

 

"Dengan melanggan GET, perniagaan dapat mengurangkan jejak karbon mereka secara  signifikan dan meningkatkan penarafan ESG, menjadikan mereka lebih menarik kepada 
pelabur. 

 

"Dengan sijil mREC dan pematuhan kepada Standard REC Antarabangsa (I-REC), GET menyediakan akses kepada elektrik hijau yang boleh dipercayai dan diiktiraf di peringkat 
global."

 

Program GET adalah komponen penting dalam strategi peralihan tenaga Malaysia, menyumbang secara langsung kepada matlamat sifar bersih 2050 negara. 

 

Hasil program itu akan digunakan bagi membiayai inisiatif meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu, seperti Skim Insentif Solar untuk Rakyat (SolaRIS).- DagangNews.com