Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia tawarkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung | DagangNews Skip to main content

Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia tawarkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung

KUALA LUMPUR 5 Mac - Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri Johor menawarkan pelbagai aktiviti menarik disusun atur untuk tatapan pengunjung di negeri ini.

 

Program yang berlangsung di Dataran Angsana Johor Bahru itu berlangsung selama tiga hari sehingga 5 Mac bermula dari  9 pagi hingga 8 malam, dengan menampilkan pelbagai aktiviti seperti pameran dan perkhidmatan kerajaan yang disediakan secara langsung kepada Keluarga Malaysia.

 

Berdasarkan atur cara AKM, pelbagai program disajikan merangkumi beberapa segmen seperti pentas utama, pentas mini jualan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pentas mini Citarasa Keluarga Malaysia, Sukan Rakyat, E-Sport serta tapak pameran agensi dan usahawan. 

 

Antara aktiviti menarik di pentas utama termasuk program Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin, Pertandingan Bintang Patriotik, Malam Kesenian Islam, Selamatkan Harimau Malaya selain cabutan bertuah oleh pelbagai agensi.

 

Jelajah AKM merupakan kesinambungan kepada kejayaan dan sambutan memberangsangkan Program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lepas, dengan objektif memastikan rakyat di semua peringkat memahami dan menghayati aspirasi Keluarga Malaysia.

 

Program itu juga bertujuan  menyampaikan  pelaksanaan inisiatif dan pencapaian  kerajaan di peringkat negeri sepanjang tahun lepas dan tahun ini, serta mengetengahkan perkhidmatan kerajaan negeri dalam penyampaian kerajaan sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

 

aspirasi

 

Mengambil kira penularan COVID-19 semasa, perjalanan program turut dibuat  mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, dengan pengunjung turut digalakkan menjalani ujian kendiri COVID-19, selain kerja-kerja sanitasi turut dijalankan setiap kali sesuatu program berakhir. - DagangNews.com