Program sukarelawan sediakan ruang bagi siswa selami, bantu masalah rakyat | DagangNews Skip to main content

Program sukarelawan sediakan ruang bagi siswa selami, bantu masalah rakyat

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

PROGRAM sukarelawan menyediakan peluang terbaik kepada golongan mahasiswa untuk turun padang menyelami sekali gus membantu meringankan pelbagai masalah dan musibah yang menimpa anggota masyarakat.

 

Jumlah mahasiswa yang ramai dari 20 buah universiti awam serta beratus institusi pengajian tinggi (IPT) swasta sewajarnya menjadi sumber tenaga sukarelawan yang kuat dan ampuh yang perlu perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

 

Secara takrifnya, sukarelawan bermaksud seorang individu yang mempunyai minat dan kecenderungan seterusnya terlibat dalam sesuatu kegiatan secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbuhan dan balasan.

 

Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan selama ini sama ada melalui penganjuran program oleh IPT masing-masing atau penyertaan di bawah payung pelbagai agensi kerajaan cukup membanggakan.


 

maskum

 


Misalnya, Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dianggotai oleh semua wakil universiti awam adalah platform yang sering memainkan peranan dan tanggungjawab dalam melatih dan menyediakan sukarelawan yang diperlukan untuk pelbagai misi bantuan.

 

Ini termasuk misi bantuan banjir di seluruh negara, selain pelbagai aktiviti sukarelawan lain yang dilaksanakan oleh universiti masing-masing termasuk yang menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

 

Sukarelawan Universiti Putra Malaysia (UPM) sendiri sering terlibat dalam pelbagai misi bantuan dan khidmat komuniti di seluruh negara, antaranya misi bantuan pascabanjir seperti menyalurkan bakul makanan serta melaksakanan aktiviti pembersihan rumah mangsa banjir.

 

Baru-baru ini mahasiswa UPM turun padang menyalurkan bakul makanan kepada mangsa banjir di Hulu Langat selain turun padang membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Bangi Lama. Semua universiti awam terlibat secara aktif dalam program sukarelawan seperti ini di seluruh negara.


 

parafrasa

 


Manakala Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang kini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) turut bergerak aktif melaksanakan pelbagai misi kesukarelawanan baik di dalam mahupun di luar negara secara lebih sistematik dan terancang menerusi pelbagai khidmat komuniti seperti pemasangan, pembinaan serta penyelenggaraan pelbagai projek fasiliti serta kemudahan awam selain mengendalikan program literasi digital dan keusahawanan sosial kepada kumpulan sasaran.

 

Selain itu, KPN juga mengiktiraf semua alumni YSS sebagai Duta Perpaduan Negara dan sedang mengkaji keperluan untuk menggubal Dasar Kesukarelawan Nasional yang akan memayungi pembangunan bakat, potensi dan penyediaan platform semua aktiviti sukarelawan negara ini.

 

Jadi peluang terbuka luas kepada seluruh mahasiswa untuk menyertai program sukarelawan mengikut minat masing-masing bagi menyumbang tenaga dan idea untuk membantu pelbagai permasalahan rakyat.

 

Golongan mahasiswa perlu menyahut seruan dan cabaran untuk terus meligatkan aktiviti turun padang melaksanakan lebih banyak lagi program sukarelawan kerana masih terdapat banyak lagi ruang untuk membantu meringankan beban anggota masyarakat.

 

Ironinya, mahasiswa selain fokus dan mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, perlu sedar mereka mempunyai tanggungjawab sosial terhadap kesejahteraan anggota masyarakat. Bermaksud mahasiswa perlu kerap keluar dari kampus untuk melihat dengan mata sendiri musibah yang menimpa rakyat dan berganding bahu meringankan beban mereka.

 

Hakikatnya, aktiviti kesukarelawan merupakan satu tugas dan komitmen yang cukup murni, ikhlas dan terpuji. Ini kerana sukarelawan tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan mahupun pulangan di atas sumbagan dan bantuan yang dihulurkan.


 

parafrasa

 


Justeru penglibatan aktif mahasiswa dalam program sukarelawan juga mampu memupuk semangat ingin membantu, prihatin dan simpati dengan masalah orang lain, mengeratkan perpaduan kerana kita membantu tanpa mengira latar belakang mangsa selain mendidik diri menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

 

Selain itu, penyertaan dalam program sukarelawan turut membolehkan mahasiswa mempraktikkan pelbagai kemahiran insaniah yang dipelajari seperti kerja berpasukan, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi, serta kemahiran kepimpinan.

 

Tuntasnya, program sukarelawan akan membantu merealisasikan agenda pemerkasaan mahasiswa sekali gus melahirkan generasi Madani berpaksikan semangat ihsan yang memiliki sifat peduli dan belas kasihan.

 

Negara kini sedang mengalami cuaca tidak menentu dengan ribut petir dan hujan lebat sehingga banjir di beberapa kawasan, menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), musim tengkujuh yang dikaitkan dengan banjir lazimnya akan berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut yang kebiasaannya bermula pertengahan bulan November hingga Mac tahun berikutnya.


 

parafrasa

 


Justeru inilah masa terbaik untuk golongan mahasiswa bersiap siaga turun padang membantu mangsa banjir di mana-mana kawasan yang terjejas kelak.

 

Semoga kerjasama erat IPT, KPT, KPN dan pelbagai agensi lain dapat terus membuka peluang kepada mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai program sukarelawan demi kesejahteraan rakyat.

 

Ironinya, kelompok mahasiswa adalah aset dan sumber bernilai negara yang wajar dioptimumkan. - DagangNews.com

 

 

 

NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED adalah TIMBALAN PENGARAH PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA