Projek bercampur Ho Hup bernilai RM1 bilion di Bukit Jalil dihentikan, Exsim beli tanah projek berharga RM110 juta | DagangNews Skip to main content

Projek bercampur Ho Hup bernilai RM1 bilion di Bukit Jalil dihentikan, Exsim beli tanah projek berharga RM110 juta

Lakaran artis mengenai projek Flex SOVO di Bukit Jalil. - Gambar/ihsan Ho Hup Group
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mei - Projek pembangunan bercampur Ho Hup Construction Company Bhd yang bernilai RM1 bilion di Bukit Jalil akan dihentikan kerana kumpulan itu merancang untuk menjual tanah projek berkenaan yang berkeluasan 1.25 hektar pada harga tunai RM110 juta.

 

Perjanjian pelupusan yang dimeterai antara Ho Hup Bukit Jalil Development Sdn Bhd (BJD) dan anak syarikat milik penuh Exsim Development Sdn Bhd iaitu Exsim Persiaran Jalil Sdn Bhd, bertujuan untuk memperbaiki kedudukan kewangan kumpulan itu.

 

Tanah Bukit Jalil diluluskan untuk pembangunan projek Flex: dua blok menara (yang terdiri daripada unit pejabat kecil, sebuah hotel, dan apartment servis) untuk dibina di atas podium lapan tingkat yang terdiri daripada tiga ruang runcit dan 20 kedai runcit.

 

"Sebagai pertimbangan pelupusan itu, Exsim Persiaran Jalil berhasrat untuk menggantung projek Flex sedia ada dan menamatkan semua kontrak dengan perunding dan kontraktor serta pembeli sedia ada," kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sebagai tambahan kepada pertimbangan pelupusan bernilai RM110 juta itu, Exsim Persiaran Jalil juga akan menanggung RM10.6 juta sebagai caj pembangunan tertunggak yang terhutang oleh BJD.

 

Daripada pertimbangan RM110 juta itu, Ho Hup memperuntukkan RM80 juta untuk membayar balik pinjaman bank, RM21 juta untuk membayar balik pembeli sedia ada unit Sovo dan RM8.5 juta untuk membayar perunding dan kontraktor.

 

Harga tanah itu telah dipersetujui dengan mengambil kira nilai indikatif tanah itu, dengan manfaat perintah pembangunan dan pemilikan kosong, sebanyak RM108 juta yang dinilai oleh penilai bebas.

 

Di bawah penyata kewangan teraudit kumpulan itu pada akhir Disember 2023, tanah itu mempunyai nilai buku bersih RM119.42 juta. Ho Hup dijangka mencatatkan kerugian bersih sekali daripada penjualan sebanyak RM9.92 juta.

 

Penjualan tanah itu, tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan, dijangka selesai pada suku ketiga 2024. - DagangNews.com