Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 12 Dis - Bermula 15 Mei lalu, kesemua projek pembangunan baharu seperti perumahan dan pejabat disyaratkan menggunakan produk cekap penggunaan air atau bakal berdepan tindakan mahkamah sekiranya ingkar.
Ketua Jabatan Bahagian Pembangunan Industri dan Audit Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd. Nasir Mahmud berkata, buat masa sekarang pihak masih dalam fasa untuk menghebahkan perkara itu kepada pemaju dan orang ramai.
Katanya, setiap projek yang ingin dibangunkan perlu menggunakan produk seperti pili dan pam tandas yang dikelaskan sebagai cekap penggunaan air mengikut kelulusan pihak SPAN.
"Sekarang ini adalah proses peralihan, tidak ada tindakan akan dikenakan kepada mereka.
"Bagaimanapun, pada masa akan datang, tindakan akan diambil sekiranya ada syarikat yang ingkar dengan arahan tersebut dan kes itu akan di bawa ke mahkamah," katanya ketika ditemui bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mohd. Nasir memberitahu, pengetahuan terhadap produk cekap penggunaan air masih belum meluas lagi dalam kalangan masyarakat berbanding penggunaan produk jimat elektrik.
Beliau berkata, mengikut akta SPAN, sesebuah pili akan dikelaskan sebagai produk cekap penggunaan air sekiranya ia mengeluarkan air di bawah lapan liter seminit dan pada masa sekarang tidak banyak produk seperti itu di pasaran
Katanya, sesebuah produk boleh diiktiraf sebagai produk dengan cara mereka menghantar sampel kepada badan pensijilan seperti SIRIM untuk diuji sebelum mendapatkan sijil kelulusan.
"Selepas mereka mendapat sijil kelulusan SIRIM, mereka perlu membawa produk dan sijil berkenaan kepada SPAN untuk membuat permohonan.
"Sekiranya menepati piawaian SPAN, produk itu akan diberikan sijil pengiktirafan dan menggunakan pelekat yang menyatakan produk berkenaan cekap penggunaan air," katanya. - DagangNews.com