Projek RTS Link tingkatkan permintaan hartanah di Johor Bahru pada 2023 - iProperty  | DagangNews Skip to main content

Projek RTS Link tingkatkan permintaan hartanah di Johor Bahru pada 2023 - iProperty 

RTS Link - Gambar mymrt.com.my
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Projek pembinaan Rapid Transit System Link (RTS Link) yang kini mencapai tahap 50% menyaksikan indeks permintaan hartanah Johor Bahru meningkat sebanyak 17%, menurut iProperty Malaysia.

 

Peneraju pasaran hartanah itu berkata, pihaknya memerhatikan prospek positif bagi pasaran hartanah Johor, didorong oleh pembinaan RTS Link. 

 

Katanya, projek tersebut yang dijangka siap menjelang akhir 2026, terbukti menjadi pemangkin ekonomi negeri yang meningkatkan ketersambungan antara Johor-Singapura dan mencergaskan kembali pasaran hartanah tempatan, terutamanya di Johor Bahru.

 

Berikutan pengumuman fasa endemik pada April 2022, iProperty Malaysia menyaksikan lonjakan sebanyak 29% bagi indeks permintaan hartanah Johor Bahru, katanya.

 

"Trend permintaan ini selaras dengan Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) 2023, yang mencatatkan penurunan sebanyak 20% untuk unit hartanah siap dibina tidak terjual di Johor daripada 5,258 pada 2022 kepada 4,228 unit pada 2023.

 

"Beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran hartanah kediaman Johor berhadapan dengan masalah kediaman siap dibina tidak terjual, diterukkan lagi oleh pandemik COVID-19. Bagaimanapun, Johor bersedia untuk perubahan dengan permulaan pemulihan pasca-pandemik dan kemajuan infrastruktur pengangkutan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, Johor sedang mengalami satu transformasi ketara, dari negeri yang mempunyai jumlah kediaman siap dibina tidak terjual tertinggi kepada kedudukan yang lebih baik. 

 

 

iproperty

 

 

"Penambahbaikan ini disebabkan oleh pelbagai inisiatif yang dijalankan pihak negeri, termasuk pembangunan RTS Link, penetapan Forest City sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ) dan potensi pemulihan kereta api berkelajuan tinggi (HSR). Usaha-usaha ini telah meningkatkan permintaan dan nilai hartanah di Johor," katanya.

 

Sementara itu, menurut NAPIC, Johor muncul sebagai negeri terkemuka dalam Indeks Harga Rumah Malaysia (MHPI) 2023, menunjukkan pertumbuhan harga rumah tahunan yang menggalakkan sebanyak 6.2%. Sebagai perbandingan, Pulau Pinang, yang merupakan naib juara, mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 3.8%. 

 

Berdasarkan transaksi sebenar yang direkodkan oleh brickz.my dari Disember 2022 hingga November 2023, didapati bahawa 70% daripada hartanah bertingkat tinggi yang ditransaksikan termasuk dalam kategori kediaman berservis. 

 

Dengan pertimbangan ini, iProperty Malaysia meneroka lebih lanjut peluang pelaburan yang tersedia pada tahun 2024 dengan meneliti trend pertumbuhan harga dan mengenal pasti hartanah yang paling dicari dalam kategori kediaman berservis.

 

"Kami mendapati peningkatan harga permintaan median tahun-ke-tahun sebanyak 20% untuk kediaman berservis di Johor Bahru. Unit yang lebih kecil khususnya mencatatkan pertumbuhan harga yang teguh - dengan kategori 501-750 kaki persegi mencatatkan 27%, 751 - 1,000 kaki persegi mencatatkan 18% dan 1,001 - 1,250 kaki persegi mencatatkan 15%. 

 

"Ini mungkin menunjukkan bahawa kelebihan ketersambungan yang lancar adalah lebih diutamakan daripada ruang kediaman lebih besar kerana kos kemasukan rendah dan kedekatan dengan mod pengangkutan utama," katanya. - DagangNews.com