KUALA LUMPUR 18 April - Prolexus Berhad, sebuah pengeluar pakaian terkemuka yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia mengeluarkan satu lagi notis permintaan untuk Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi South Malaysia Industries Berhad (SMIB) bagi memecat lembaga pengarah semasa (BOD) dan mencalonkan dua pengarah baharu.
Langkah itu dibuat selepas keputusan mahkamah baru-baru ini yang telah menjejaskan hak pemegang saham.
Pengarah Eksekutif Prolexus, Tan Eik Huang berkata, pihaknya kecewa kerana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan memihak kepada SMIB dan membatalkan saham pemula pihaknya yang memaksa BOD SMIB untuk memberikan mereka Rekod Pendeposit Syarikat (ROD) supaya satu EGM boleh diadakan.
"Sebelum ini kami telah memfailkan saman untuk meminta BOD SMIB memberikan kami ROD, kerana kami percaya kami mempunyai kepentingan yang sah dan hak berkanun dalam mendapatkan maklumat ini sebagai ahli syarikat untuk mengadakan EGM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Prolexus tidak mempunyai alasan kukuh semasa memfailkan saman itu.
Eik Huang berkata, pihaknya ingin menekankan bahawa adalah penting untuk mahkamah tidak menolak merit hak mereka sebagai ahli syarikat untuk meminta ROD.
Beliau berkata, pihaknya tidak menganggap itu sebagai satu halangan tetapi mereka tetap komited untuk memperjuangkan kepentingan ahli akan terus meneroka semua jalan perundangan yang tersedia.
"Berdasarkan keputusan mahkamah dan pengumuman syarikat bertarikh 27 Februari 2023 yang menyatakan bahawa ROD akan diberikan selepas mereka menerima notis yang betul dan kami bekerjasama dengan penasihat undang-undang kumpulan untuk menangani rungutan utama SMIB kerana tidak memberikan ROD seperti diumumkan di mahkamah sebelum ini.
"Ini akan membolehkan pemegang saham Syarikat mengakses ROD dan memudahkan penganjuran EGM. Kami berharap dapat bekerjasama dengan SMIB untuk mencari jalan untuk mendapatkan maklumat ini dengan cara yang sah," katanya.
Objektif utama EGM itu adalah untuk membuka jalan kepada kepimpinan baharu yang boleh mengemudi SMIB ke arah pemulihan dan pertumbuhan.
Dengan mengambil tindakan ini, kumpulan menyasarkan untuk memulihkan keyakinan pelabur, meningkatkan nilai pemegang saham, dan membina semula reputasi dan kepimpinan SMIB.
Kumpulan itu memiliki saham yang mencukupi dalam SMIB melalui Honsin Apparel Sdn Bhd dan HIQ Media (Malaysia) Sdn Bhd untuk meminta EGM.
Di bawah Akta Syarikat 2016, Seksyen 310(b), mana-mana pemegang saham yang mempunyai sekurang-kurangnya 10% daripada modal saham terbitan Syarikat mempunyai hak untuk mengadakan EGM.
Memandangkan Prolexus memegang 10.01% dalam SIMB, mereka berhak untuk melaksanakan hak berkanun ini. - DagangNews.com