KUALA LUMPUR 12 Mei - Prospek jangka panjang Greatech Technology Berhad diunjur positif didorong oleh pendedahan kepada FirstSolar yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang merupakan penerima manfaat langsung daripada Akta Pengurangan Inflasi AS yang menekankan pada tenaga bersih.
Maybank Inverstment Bank (Maybank IB) berkata, walaupun hanya memenangi kontrak berjumlah RM44 juta (tempahan tertunggak sebanyak RM650 juta) berbanding sasaran RM800 juta ada tahun ini, pengurusan kumpulan itu yakin raih lebih banyak kontrak pada separuh kedua tahun ini.
"Oleh itu kami mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan pada FY23 tetapi menyemak turun jangkaan bagi FY24-FY25 sebanyak 11% dan 12% selepas mengambil kira unjuran hasil sistem pengeluaran (PLS) bukan solar fotovoltaik (PV) dan kenderaan elektrik (EV) yang lebih rendah.
"Selain itu ia juga mengambil kira tekanan kos tetap yang lebih tinggi selepas permulaan operasi kilang Batu Kawan IV menjelang akhir tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023, kumpulan itu mencatatkan untung bersih yang lebih rendah sebanyak RM27.8 juta, atau pendapatan sesaham 2.22 sen daripada RM28.9 juta, atau 2.31 sen sebelumnya.
Hasil meningkat 11.3% kepada RM113.7 juta berbanding RM102.16 juta setahun lalu.
Firma itu berkata, walaupun mencatatkan keputusan suku tahun yang lebih lemah namun margin untung bersih teras pada suku pertama 2023 dan margin untung kasar meningkat dari tahun ke tahun selepas ketiadaan isu gangguan rantaian bekalan yang mejejaskan prestasi mereka pada suku pertama 2022.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga RM6.05 sesaham. - DagangNews.com