Prospek jualan Poh Huat diunjur kekal perlahan pada FY24 kesan permintaan rendah daripada pelanggan AS, kata PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Prospek jualan Poh Huat diunjur kekal perlahan pada FY24 kesan permintaan rendah daripada pelanggan AS, kata PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - Prospek jualan Poh Huat Resources Holdings Berhad diunjur kekal perlahan pada FY24  kesan landskap industri perabot yang mencabar disebabkan permintaan yang lebih rendah daripada pelanggan Amerika Syarikat (AS).

 

Public Investment Bank Berhad (PublicInvest) telah menurunkan taraf Poh Huat kepada 'underperform' dan mengurangkan harga sasaran (TP) untuk saham syarikat itu kepada RM1.05 sesaham.

 

Untung bersih bagi suku keempat 2023 (4QFY23) turun sebanyak 54.2% kepada RM10.8 juta disebabkan oleh penyusutan pesanan jualan, mencerminkan aliran perbelanjaan yang lemah di AS.

 

Tanpa mengira item bukan operasi, ia berkata keuntungan bersih teras 4QFY23 Poh Huat mencecah RM4.5 juta, menjadikan keuntungan bersih teras FY23 tahun penuhnya kepada RM25.3 juta.

 

"Keputusan itu adalah di bawah kedua-dua anggaran kami dan konsensus masing-masing pada 77% dan 78% daripada ramalan tahun penuh. 

 

"Terdapat Percanggahan dalam ramalan kami disebabkan jualan perabot yang lebih lemah daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

PublicInvest berkata eksport perabot kayu Malaysia melaporkan penurunan 25.4% kepada RM6.5 bilion pada sembilan bulan 2023.

 

Sementara itu, pasaran perumahan AS terjejas oleh kadar gadai janji yang tinggi, membawa kepada penurunan 5% dalam jualan rumah baharu dari suku tahun ke suku tahun kepada 679,000 unit pada Oktober 2023

 

PublicInvest telah mengurangkan unjuran pendapatan FY24-25F untuk Poh Huat sebanyak 21% hingga 23%. - DagangNews.com