Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Ketidaktentuan harga minyak sawit mentah dijangka terus mempengaruhi prospek Kim Loong Resources Bhd. di sebalik prestasi kewangan kumpulan yang kukuh, menurut Malacca Securities Research.
Ini dilihat akan memberi risiko kepada penarafan kumpulan yang disemak naik kepada 'beli' berbanding 'pegang' bagi sahamnya dengan harga sasaran pada RM1.95.
Jelas firma itu, harga minyak sawit mentah banyak bergantung kepada keadaan cuaca dan juga permintaan (terutama dari China dan India) serta bekalan (dari Malaysia dan Indonesia).
"Walaupun prospek bekalan akan lebih baik beberapa bulan akan datang, tetapi kami berpendapat kenaikan harga akan terus bertahan.
"Setakat ini, kami menjangkakan harga minyak sawit mentah kekal melebihi RM4,000 satu tan metrik bagi baki tahun ini, didorong permintaan yang stabil terutama China dan India," katanya dalam nota kajian hari ini.
Kim Loong merekodkan untung bersih bagi suku kedua kepada RM36.1 juta, meningkat 9% berbanding tahun sebelumnya manakala endapatan juga meningkat 68.4% kepada RM400.8 juta.
Ini didorong harga purata jualan minyak sawit mentah yang lebih tinggi dan buah tandan segar masing-masing pada RM4,121 satu tan metrik dan RM777 satu tan metrik.
Bagi tempoh 6 bulan tahun ini, untung bersih terkumpul meningkat 15.1% tahun ke tahun kepada RM64.5 juta disebabkan harga minyak sawit mentah yang tinggi berbanding jangkaan.
Malacca Securities berkata, berdasarkan prestasi kewangan Kim Loong bagi tempoh tersebut yang memenuhi jangkaannya, ia menyemak naik unjuran pendapatan sebanyak 47.9% dan 46.4% kepada RM132.5 juta dan RM133.8 juta masing-masing bagi tahun kewangan 2022 dan 2023.
"Unjuran kami ini dibuat setelah mengambil kira harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi," tambahnya.
Menurutnya, pengambilalihan kawasan perladangan seluas 2,722 ekar boleh meningkatkan tambahan pengeluaran buah tandan segar kumpulan sebanyak 30,000 tan metrik setahun bagi tahun kewangan 2022.
"Kami juga mendapati, operasi perladangan dan kilang beroperasi seperti biasa, yang menunjukkan peningkatan lebih baik daripada suku sebelumnya," katanya. - DagangNews.com