Prospek perolehan projek positif, sasaran harga saham Greatech dinaikkan | DagangNews Skip to main content

Prospek perolehan projek positif, sasaran harga saham Greatech dinaikkan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Penganalisis meningkatkan harga sasaran (TP) saham Greatech Technology Berhad kepada RM7.70 dengan jangkaan pulangan 8.0% dan penarafan 'outperform', susulan prospek pengisian semula projek kumpulan yang positif. 

 

Baru-baru ini, kumpulan telah memeterai Perjanjian Induk Pembelian Peralatan (MEPA) dengan First Solar, yang dijangka mendorong kepada lebih banyak pengisian semula kontrak lebih besar daripada syarikat tersebut pada masa akan datang, menurut penganalisis di Public Investment Bank, Chua Siu Li.

 

“Kami melihat penilaian itu adil, berdasarkan pendedahan unik Greatech terhadap segmen fotovoltan (PV) dan bateri kenderaan elektrik (EV), selain penembusannya ke dalam segmen perubatan, yang kami jangkakan dapat melonjakkan margin kumpulan apabila momentum mula meningkat.

 

“Setakat 9 Ogos, pesanan buku Greatech berjumlah RM206 juta, dengan kedua-dua segmen PV dan bateri EV masing-masing menyumbang kira-kira 48%. 

 

“Pesanan buku kumpulan pertama kalinya mencerminkan projek daripada segmen perubatan, walaupun hanya menyumbang sekitar 1% daripada pesanan buku sedia ada,” jelas Siu Li dalam satu nota kajian.

 

Bagaimanapun, menjelang tahun kewangan 2022 (FY22), Greatech mengunjurkan segmen perubatannya berpotensi menyumbang sehingga sekitar RM100 juta kepada pesanan buku kumpulan. 

 

Sebagai rekod, Greatech telah mengenal pasti 25 bakal pelanggan bagi segmen berkenaan setakat ini.

 

Dalam pada itu, Greatech juga baru-baru ini memperuntukkan tambahan RM200 juta perbelanjaan modal untuk mengembangkan kapasitinya, termasuk pembinaan dua kilang pembuatan baharu di Batu Kawan III dan Batu Kawan IV selain merancang untuk mengembangkan ibu pejabatnya di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan pelan perluasan kapasiti Greatech.

 

“Batu Kawan II akan menumpukan kepada tempahan PV, sementara Batu Kawan III dan Batu Kawan IV dikhaskan untuk tempahan bateri EV. Tambahan ruang lantai sehingga sekitar 630,000 kaki persegi ini cukup untuk menyokong pertumbuhan Greatech sehingga FY23,” tambah  Siu Li. - DagangNews.com