KUALA LUMPUR 31 Mac - RHB Investment percaya MGB Berhad mempunyai prospek positif untuk meraih lebih banyak kerjasama dalam perniagaan pratuang di Arab Saudi selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sany Alameriah For Construction Co Ltd (SA), baru-baru ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu akan meluaskan asas pendapatannya daripada produk pratuang yang kini diiktiraf secara dalaman.
MoU itu, yang ditandatangani pada Januari 2023, dengan SA menonjolkan minatnya untuk melantik MGB untuk memasang produk konkrit pratuang sehingga 10,000 unit hartanah dalam program perumahan Sakani Arab Saudi (KSA), yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
MoU itu juga memerlukan kerjasama dengan MGB untuk mengendalikan kilang konkrit pratuang di Jeddah.
Nilai untuk membekal dan memasang produk pratuang adalah sekitar RM2.9 bilion yang memberikan untung bersih tahunan RM8.7 juta kepada MGB dalam tempoh lima tahun berdasarkan anggaran awal dengan margin keuntungan bersih konservatif sebanyak 3%.
Firma itu berkata, rancangan perumahan nasional Arab Saudi di bawah program Sakani di Jeddah termasuk pinggir bandar Al-Jawhara Al-Mayar dan Al-Khayala, yang meliputi lebih 25,000 unit dengan nilai keseluruhan AS$21 bilion.
"Bagi jangka panjang, Jeddah dan Riyadh menjangkakan projek pembangunan hartanah dan infrastruktur bernilai lebih AS$200 bilion menjelang akhir 2030.
"Oleh itu, kumpulan itu mungkin berada di kedudukan terbaik untuk memanfaatkan lebih banyak peluang di negara itu sekiranya ia terlibat dalam usaha niaga pratuang yang dinyatakan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran pendapatan kumpulan kerana sebarang potensi kontrak daripada MoU itu hanya akan diketahui selepas suku kedua 2023.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran baharu (TP) 89 sen sesaham. - DagangNews.com