Prospek QL Resources disokong segmen pembuatan produk makanan laut, penternakan, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Prospek QL Resources disokong segmen pembuatan produk makanan laut, penternakan, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - MIDF Research kekal positif terhadap prospek QL Resources Bhd didorong prestasi lebih baik dalam segmen pembuatan produk makanan laut (MPM) dan penternakan bersepadu (ILF) berikutan permintaan yang berdaya tahan. 

 

Katanya, asas kepelbagaian hasilnya juga daripada operasi merentasi empat segmen perniagaan di pelbagai negara juga menawarkan perlindungan terhadap sebarang risiko.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kilang MPM kumpulan itu di Sabah mengeksport 80% produk makanan laut yang diproses termasuk surimi (pes yang diperbuat daripada makanan laut), tepung ikan dan makanan laut beku ke pasaran China, Taiwan, Jepun dan Australia.

 

Eksport makanan laut beku memperoleh margin keuntungan yang lebih tinggi berbanding penjualan di pasaran domestik.

 

"Bagaimanapun, dinamik eksport untuk udang berbeza-beza disebabkan keperluan pelabagai daripada pelanggan.

 

"China, Taiwan dan Singapura memerlukan udang masak serta sejuk beku dan kumpulan itu hanya mengeksport daging udang ke Australia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research menyukai kumpulan itu kerana mereka menceburi perniagaan baharu dengan membekalkan makanan panas kepada MAS Awana menerusi segmen kedai sebaneka (CVS) memberi gambaran potensi untuk pasaran baharu serta hasil tambahan pada masa akan datang.

 

Katanya, jualan untuk MAS Awana meningkat dengan ketara setiap minggu dengan sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan aktiviti pelancongan.

 

Firma penyelidikan itu tidak membuat sbarnag perubahan kepada ramalan pendapatan kumpulan itu bagi FY24 hingga FY26 berdasarkan kadar pertumbuhan tidak berubah sebanyak 3.5% dan kos purata wajaran modal (WACC) tidak berubah sebanyak 6.7%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.50 sesaham. - DagangNews.com