Proton bekerjasama dengan Gentari lancar pengecas pantas EV di Pusat Kecemerlangan Proton | DagangNews Skip to main content

Proton bekerjasama dengan Gentari lancar pengecas pantas EV di Pusat Kecemerlangan Proton

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - Proton bekerjasama dengan Gentari Sdn. Bhd. melancarkan pengecas pantas DC 100 kW bagi kenderaan elektrik (EV) di Centre of Excellence (CoE) yang terletak di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), hari ini.

 

Pengecas dinamik, yang dipasang oleh anak syarikat milik penuh Gentari, Gentari Green Mobility Sdn Bhd, di tempatkan di kawasan letak kereta pelanggan bilik pameran Proton Crystal, yang menawarkan akses kepada semua pengguna EV tanpa mengira jenama.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, ia merupakan masa terbaik untuk mereka mengambil langkah seterusnya dalam segmen itu selaras dengan kemasukan mereka kepada pasaran EV melalui smart Malaysia.

 

"Kami bersyukur kerana mempunyai rakan kongsi yang dinamik seperti Gentari, yang telah memasang pengecas DC pertama di tapak ibu pejabat kami dan berharap lebih banyak kerjasama sedemikian pada masa hadapan, dalam rangkaian pengedar kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli berkata, pihaknya sangat teruja untuk mengambil langkah seterusnya dalam perkongsian strategik dengan Proton menerusi pelancaran rangkaian kemudahan pengecasan untuk menyokong kemasukan mereka ke dalam pasaran EV Malaysia. 

 

"Bersama Proton, usaha gabungan kami boleh mempercepatkan lagi pergerakan mobiliti hijau, meletakkan Malaysia di landasan yang betul dalam perjalanan peralihan tenaganya. Nantikan lebih banyak inisiatif yang dihasilkan daripada perkongsian," katanya.

 

Sejak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Gentari dan anak syarikat tenaga baharu Proton, PRO-NET pada 12 Oktober 2022, kedua-dua syarikat telah meneroka pelbagai penyelesaian untuk  memperkukuhkan rangkaian pengecasan di Malaysia.

 

Ini termasuk kerjasama antara Gentari Green Mobility Sdn Bhd, Proton Global Services dan rakan kongsi lain  untuk membangunkan bukti konsep bagi penyelesaian pengecasan EV mudah alih menggunakan Proton Exora. 

 

Tiga unit konsep itu sedang diuji, dengan setiap pengecas menawarkan 30 kW kuasa pengecasan. Kajian pengguna yang berterusan sedang dijalankan untuk menilai permintaan untuk konsep inovatif ini.

 

PRO-NET juga bekerjasama dengan Gentari untuk memasang pengecas pantas di beberapa pengedar Proton. Sebagai sebahagian daripada program fasa pertama, lima pengecas DC Gentari tambahan ditetapkan untuk  dipasang pada penghujung tahun 2023, dengan sasaran dua puluh pengedar. - DagangNews.com