Proton catat jualan 12,522 unit kenderaan pada Mei 2024, Saga kekal model eksport terlaris | DagangNews Skip to main content

Proton catat jualan 12,522 unit kenderaan pada Mei 2024, Saga kekal model eksport terlaris

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jun - Proton Holdings Bhd mencatatkan kadar pertumbuhan jualan sebanyak 13.6% pada Mei 2024 dengan 12,522 unit terjual dan Proton Saga kekal sebagai model eksport terlaris.

 

Pengeluar kereta nasional itu berkata, jualan bagi lima bulan pertama yang dicatatkan iaitu 62,697 unit telah mengukuhkan kedudukan tempat kedua dalam keseluruhan jualan automotif nasional dengan pegangan pasaran dianggarkan pada 19%. 

 

Pertumbuhan jualan yang didaftarkan oleh Proton pada bulan Mei adalah selaras dengan trend jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) yang dianggarkan meningkat sebanyak 20.7% kepada kira-kira 70,000 unit pada bulan Mei. 

 

 

Secara kumulatif, sehingga kini, TIV dianggarkan pada 330,236 unit, bersamaan dengan peningkatan 8.8% berbanding 2023. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, Mei menunjukkan pertumbuhan positif dengan peningkatan TIV, mencerminkan daya tahan industri automotif tempatan. 

 

Beliau berkata, dengan TIV kumulatif sehingga bulan Mei sudah mencapai 44.6% daripada unjuran setahun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 740,000 unit, pihaknya percaya masih ada ruang untuk pertumbuhan dalam industri automotif tempatan. 

 

“Memasuki separuh kedua tahun 2024, Proton akan fokus pada peningkatan jualan melalui kemas kini model sedia ada, sambil mengambil langkah pertama kami memasuki pasaran EV," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sejak Februari 2024, Proton Saga kekal sebagai model eksport terlaris dan ia sekali lagi mendahului model lain dengan 360 unit dieksport pada Mei dan pada masa sama, kebanyakan model lain juga mencatatkan peningkatan jualan eksport, menjadikan jualan eksport kumulatif kepada 1,344 unit sejak Januari tahun ini berbanding 820 unit untuk tempoh masa yang sama pada 2023.

 

Proton X90, kembali merampas kembali gelaran SUV segmen-D paling popular di Malaysia dengan 364 unit terjual. 

 

Sementara itu, jualan Proton Saga meningkat 21.6% kepada 6,119 unit di bulan Mei membawa jualan tahun sehingga kini meningkat sebanyak 8% ke 29,397 unit, kerana ia kekal menjadi produk yang menarik kepada pembeli kereta Malaysia.  

 

Peneraju pasaran Proton yang lain pada bulan Mei ialah sedan segmen C, Proton S70. Jualannya meningkat 23% kepada 2,011 unit daripada 1,635 unit pada bulan April, dan jualan kumulatif untuk lima bulan pertama 2024 kini berjumlah 9,474 unit. - DagangNews.com