Proton dan Pos Malaysia dijangka pacu keuntungan DRB-Hicom pada 3Q20 | DagangNews Skip to main content

Proton dan Pos Malaysia dijangka pacu keuntungan DRB-Hicom pada 3Q20

Pos Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Syarikat DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) dijangka mencatatkan keuntungan yang lebih baik secara berterusan bagi suku ketiga 2020.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu didorong oleh sumbangan dua segmennya iaitu Proton dan Pos Malaysia.

"Kami melihat kesan minimum terhadap pendapatan kumpulan daripada cadangan pemerolehan.

"Kami jangkakan DRB-Hicom akan mencatatkan jumlah keuntungan bersih yang lebih baik secara berterusan pada suku ketiga 2020.

"Ia didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi oleh Proton dan peningkatan jumlah bungkusan yang diproses oleh Pos Malaysia susulan permintaan e-dagang yang semakin baik," kata CGS-CIMB Research.

Proton mencatatkan prestasi jualan yang lebih baik melepasi jangkaan yang diletakkan CGS-CIMB Research.

Dalam pada itu, Proton turut menyumbang pendapatan yang lebih cepat berbanding jangkaan yang diletakkan kepada Pos Malaysia

Perkara tersebut mendorong CGS-CIMB Research untuk membuat penarafan semula saham syarikat berkenaan.

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' saham DRB-Hicom dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM2.35.

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research turut menyatakan syarikat tersebut telah menandatangani perjanjian jual beli tanah seluas 288 ekar dengan syarikat Tradewinds Plantation Bhd.

Tanah pegangan bebas yang bertempat di Alor Gajah, Melaka itu diperoleh dengan nilai pertimbangan berharga RM240 juta.

Menurut perancangan kumpulan itu, tanah berkenaan akan dikembangkan sebagai taman perindustrian pada awal tahun kewangan 2022. - DagangNews.com