Proton lancar inisiatif 5 bintang tingkatkan tahap servis selepas jualan | DagangNews Skip to main content

Proton lancar inisiatif 5 bintang tingkatkan tahap servis selepas jualan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Pengeluar kereta nasional, Proton melancarkan inisiatif penarafan lima bintang bagi meningkatkan tahap servis selepas jualan kepada pelanggan di cawangannya di seluruh negara.

 

Inisiatif baharu itu mengiktiraf pengedar Proton yang telah mencapai tahap cemerlang bagi servis selepas jualan dan ia merupakan lanjutan daripada inisiatif Kecemerlangan Operasi Proton (POE) yang dimulakan pada 6 Mac 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pihaknya yakin bahawa penyampaian perkhidmatan selepas jualan terbaik kepada pelanggan akan membezakan Proton daripada jenama pesaing.

 

Beliau berkata, Proton akan terus melabur dalam perkhidmatan pelanggan serta operasi selepas jualan di semua cawangan bagi memastikan kepuasan pelanggan di tahap tertinggi.

 

“Kami akui penawaran rangkaian model premium spesifikasi tinggi pada harga kompetitif mampu menarik pelanggan ke bilik pameran.

 

proton
Roslan Abdullah

 

"Bagaimanapun, penyediaan perkhidmatan pelanggan bertaraf tinggi dan menyediakan layanan selepas jualan akan memberi peluang untuk membina kesetiaan pelanggan kepada jenama dan membuka pintu untuk pembelian berulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengiktirafan baharu itu akan diberikan berdasarkan skor POE dan kualiti perkhidmatan bagi menggalakkan semua cawangan mencapai dan mengekalkan tahap perkhidmatan serta kepuasan pelanggan yang tinggi. 

 

proton

 

Kualiti perkhidmatan dinilai dalam dua kategori iaitu kelajuan dan pematuhan SOP dan ini kemudiannya dinilai dalam enam bidang tumpuan. 

 

Dengan permulaan inisiatif penarafan lima bintang, lima pengedar Proton akan dianugerahkan pengiktirafan tertinggi setiap bulan, menandakan kecemerlangan mereka sebagai pusat kecemerlangan selepas jualan dan perkhidmatan pelanggan.

 

proton


 

Bagai memastikan penerimaan daripada cawangannya, indeks prestasi utama (KPI) untuk inisiatif itu ditetapkan berdasarkan maklum balas daripada semua cawangan serta penanda aras amalan terbaik daripada OEM lain. 

 

Bagi menandakan permulaan inisiatif lima bintang, pelancaran telah diadakan di Melinau Auto di Kuching, antara cawangan Proton yang diberi pengiktirafan baharu selepas memenuhi semua syarat.  - DagangNews.com