Proton tingkatkan pengeluaran model X50 penuhi lebih dari 8,000 tempahan | DagangNews Skip to main content

Proton tingkatkan pengeluaran model X50 penuhi lebih dari 8,000 tempahan

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Julai - Pengeluar kereta nasional, Proton mencatat jumlah tempahan sebanyak 8,000 unit Proton X50 dalam tempoh sebulan sejak pelancarannya pada Jun 2024.


Sejak 2020, Proton X50 telah menjadi SUV terlaris di Malaysia, dengan penjualan mencatatkan 115,262 unit sehingga Jun.


Menurut kenyataan media hari ini, Proton berkata, sambutan Proton X50 menegaskan kedudukannya dalam pasaran SUV.


Sebagai tindak balas kepada permintaan itu, Proton akan meningkatkan pengeluaran modal kereta itu untuk mempercepat jadual penghantaran kepada pelanggan yang berminat menjelang Ogos 2024.


Kata Proton, semua pelanggannya yang layak akan mendapat promosi 'early bird' diskaun tunai RM7,000 dan diberi sokongan tukar beli bernilai RM1,000/RM1,500.


Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah menyatakan nombor tempahan yang tinggi itu mendorong Proton untuk menyampaikan nilai dan kualiti yang cemerlang kepada pelanggannya.


Proton menyatakan pelanggannya tertarik kepada Proton X50 kerana aspek keselesaan dan bekualiti tinggi.


“Pelanggan kami tertarik dengan pakej kadar bising, getaran & kekasaran (NVH) yang mewujudkan suasana dalam kereta lebih senyap serta pintu belakang elektrik varian Premium dan Flagship mudah pengendalian,


“Unit hiburan infotainment (IHU) sebesar 10.3’’ lengkap dengan unit pemproses dwi-teras empat baharu memberikan kelajuan bootup dan masa pemuatan lebih pantas,


“Ia akan melancarkan operasi aplikasi pelbagai secara serentak serta meningkatkan pengalaman pengguna,” katanya.


Sistem IHU juga termasuk arahan suara popular 'Hi Proton' dan aplikasi Proton Link yang menghidupkan enjin jarak jauh serta menyejukkan kabin.


Sementara itu, Proton berkata, kamera 360 modal itu merupakan peningkatan yang banyak dibincangkan dalam sosial media. 


“Ia memberi kejelasan luar biasa walaupun dalam keadaan cahaya rendah, menjadikan parkir lebih mudah,” ulas Proton. 


Sempena sambutan capaian 5 juta kenderaan, Proton turut memperkenalkan pakej promosi untuk model-model lain.


Syarikat itu juga akan memberi diskaun tunai RM500 untuk Proton Saga, RM7,000 untuk Proton X70, dan penyelenggaraan perkhidmatan percuma selama 2 tahun untuk Proton X90. 


Selain itu, Proton memperkenalkan acara ‘Uji Pandu dan Menang tanpa Kewajipan Membeli’ di bilik pameran Proton seluruh negara.


Proton kekal komited untuk melebihi jangkaan pelanggan dan memberikan nilai yang tiada tandingan melaui usaha berterusan syarikat itu dalam penambahbaikan kenderaan mereka. - DagangNews.com